Amerika Syarikat berikrar mengutamakan kerjasama dengan “sekutu contoh” yang telah memenuhi seruannya untuk perkongsian beban keselamatan yang lebih saksama di seluruh dunia.

Berbeza dengan sekutu Eropah, Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, memuji respons rakan kongsi Indo-Pasifik terhadap jangkaan pentadbiran Presiden Donald Trump agar negara-negara membelanjakan 3.5 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar mereka untuk perbelanjaan pertahanan.

“Bagi negara-negara yang menyahut cabaran ini dan menerima tanggungjawab sebagai rakan kongsi sejati, faedahnya akan jelas,” kata Encik Hegseth dalam ucapan di acara Dialog Shangri-La ke-23 pada 30 Mei.

Ia merupakan forum keselamatan dan pertahanan terkemuka yang tertumpu pada Asia Pasifik.

“Kami akan mengutamakan kerjasama dengan sekutu contoh, negara-negara yang paling berkebolehan, berwawasan luas dan bersedia untuk mempertahankan kepentingan negara mereka.

“Bagi negara-negara tersebut, kami menggerakkan mereka ke barisan hadapan: penjualan senjata yang dipercepatkan, kerjasama pangkalan perindustrian yang mendalam, perkongsian risikan yang diperluas,” ujar beliau.

Encik Hegseth menyenaraikan Australia, India, Indonesia, Jepun, Malaysia, Filipina, Korea Selatan, Singapura, Thailand dan Vietnam antara negara yang sedang mengambil langkah sewajarnya.

Beliau tidak menyebut Taiwan dan New Zealand dalam senarai tersebut.

Dengan nada yang lebih berdamai terhadap China, ucapannya yang menggariskan dasar pertahanan utama Amerika, adalah yang pertama selepas sidang puncak antara Presiden China Encik Xi Jinping dengan Encik Trump di Beijing dua minggu lalu.

Dalam sidang tersebut, mereka bersetuju dengan rangka kerja “kestabilan strategik yang membina” antara dua ekonomi terbesar dunia.

“Apa yang kami cari – dan apa yang Presiden Trump sentiasa nyatakan ialah keseimbangan yang benar-benar stabil untuk rakyat Amerika dan sekutu kami, keseimbangan kuasa yang menguntungkan tetapi berdaya tahan di mana tiada negara, termasuk China, boleh mengenakan pengaruhnya dan mengekalkan keselamatan atau kemakmuran negara kami dan sekutu kami,” ujar Encik Hegseth.

Beliau menekankan bahawa Amerika akan bertindak dengan “kuat, senyap dan jelas” untuk memupuk kestabilan di rantau ini.

Beberapa perwakilan Asia dari negara-negara yang disebut menarik nafas lega.

Seseorang dari Filipina berseloroh kepada seorang lagi dari Jepun: “Kami disebut.”

Namun, mantan menteri pertahanan Taiwan, Encik Andrew Yang, berkata bahawa persoalan sokongan Amerika terhadap Taiwan hanya boleh dijawab oleh Presiden Trump.

Encik Hegseth tidak menjawab secara langsung soalan daripada para hadirin mengenai penjualan senjata kepada Taiwan.

Selepas sidang puncak Beijing baru-baru ini dengan rakan sejawatnya dari China, Encik Trump menambah kepada ketidakpastian apabila beliau tidak pasti sama ada akan meluluskan penjualan senjata terbesar kepada Taiwan, pulau yang ditadbir sendiri dan merupakan titik pergolakan keselamatan utama dalam hubungan Asia Pasifik dan Amerika-China.

Akta Perhubungan Taiwan, yang digubal pada 1979, membenarkan Amerika menyediakan Taiwan dengan sumber yang diperlukan untuk pertahanan diri yang berkesan.

Pendirian Encik Trump dalam mengutamakan rundingan perdagangan dengan China telah menyebabkan beberapa rakan kongsi terbesarnya di Asia Pasifik bimbang Taiwan akan diabaikan dari segi kepentingan.

Ketidakpastian ini pada mulanya dicetuskan oleh langkah Encik Trump untuk tidak memberi komen selepas Perdana Menteri Jepun, Cik Sanae Takaichi, memberitahu Parlimen pada November bahawa sebarang serangan China ke atas Taiwan yang mengancam Jepun akan mewajarkan tindak balas ketenteraan.

Kenyataannya itu telah menimbulkan kemarahan Beijing dan mencetuskan pertikaian diplomatik antara kedua-dua negara berjiran itu.