LONDON: Kapten kelab Liga Perdana England (EPL) Liverpool, Jordan Henderson, mengucapkan selamat tinggal kepada peminat kelab itu pada Rabu, menjelang pemindahannya ke kelab Arab Saudi Al-Ettifaq.
Pemain berusia 33 tahun itu bakal menamatkan tempoh 12 tahun di Anfield, dengan beliau memenangi setiap kejuaraan utama, apabila beliau bergabung dengan bekas rakan sepasukan Liverpool Steven Gerrard, kini pengurus Al-Ettifaq yang beraksi dalam Liga Profesional Saudi.
“Sukar untuk merumuskan 12 tahun terakhir ini dengan kata-kata dan lebih sukar untuk mengucapkan selamat tinggal,” kata pemain antarabangsa England itu dalam satu catatan Instagram.
“Terima kasih untuk segalanya. Anda tidak akan pernah berjalan sendirian (You’ll never walk alone)... Menjadi kapten kelab bola sepak Liverpool adalah satu penghormatan terbesar dalam hidup saya.”
Henderson mengetuai The Reds untuk merangkul kejuaraan liga England pertama mereka bagi tempoh 30 tahun pada 2020, setahun selepas menjulang trofi Liga Juara-Juara.
Bagaimanapun, pemain tengah England itu berminat untuk menyertai Gerrard selepas dilaporkan ditawarkan perjanjian bernilai sehingga £700,000 ($1.2 juta) seminggu.
Liverpool dijangka menerima bayaran sebanyak £12 juta. Gerrard dilantik sebagai pengurus Al Ettifaq awal Julai.
Henderson menyertai Liverpool dari Sunderland pada 2011 dan menggantikan Gerrard sebagai kapten di Anfield pada 2015.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg