LONDON: Liverpool telah bersetuju secara prinsip untuk melepaskan kapten pasukan, Jordan Henderson, kepada kelab Liga Profesional Arab Saudi, Al-Ettifaq, dengan bayaran £12 juta ($20.5 juta).
Henderson kini berada bersama pasukan Liverpool untuk kem latihan di Jerman, namun tidak terlibat dalam kemenangan 4-2 ke atas pasukan Karlsruher.
Pemain midfield berusia 33 tahun itu masih mempunyai tempoh dua tahun dalam kontraknya bersama Liverpool.
Namun, tarikan bekas kapten Liverpool, Steven Gerrard, yang dilantik pengurus Al-Ettifaq, terlalu kuat bagi Henderson,
Henderson menyertai Liverpool dari Sunderland pada Jun 2011 dengan bayaran pemindahan £20 juta. Secara keseluruhan beliau telah mewakili Reds sebanyak 491 kali, menjaringkan 33 gol.
Sementara itu, juara Liga Perdana England, Manchester City, telah bersetuju menjual pemain sayap asal Algeria, Riyad Mahrez, kepada kelab Al-Ahli dari Liga Pro Saudi dengan bayaran £30 juta.
Pemain berusia 32 tahun itu telah diberi keizinan untuk tidak mengikuti rombongan City ke Jepun dan Korea Selatan bagi latihan pramusim.
Menurut sumber, perjanjian antara dua kelab itu telah pun dipersetujui, namun City mempunyai pilihan untuk menerima tawaran lebih tinggi dari kelab lain, sekiranya perjanjian dengan Al-Ahli belum dimeterai semasa tawaran tersebut diterima kelab Manchester itu.
City telah membeli Mahrez dengan bayaran pemindahan £60 juta pada 2018, dan menjaringkan 15 gol dalam 47 perlawanan dalam musim di mana pasukan Blues memenangi tiga piala.
Namun, Mahrez tidak diturunkan dalam perlawanan Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah dengan pengurus, Pep Guardiola, memilih untuk membiarkan beliau menyertai lain-lain pemain terkemuka dunia berhijrah ke Arab Saudi. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg