Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebanon, Hezbollah setuju usul AS gencatan senjata dengan Israel

Pegawai tinggi Lebanon sifatkan usaha sebagai langkah paling serius dalam usaha tamatkan perang
Nov 19, 2024 | 4:21 PM
Rakyat Palestin berasak-asak untuk membeli roti dari sebuah kedai di tengah Jaluran Gaza pada 10 November.
Rakyat Palestin berasak-asak untuk membeli roti dari sebuah kedai di tengah Jaluran Gaza pada 10 November. - Foto REUTERS

BEIRUT: Lebanon dan Hezbollah telah bersetuju dengan cadangan Amerika Syarikat untuk melaksanakan gencatan senjata dengan Israel, kata seorang pegawai tinggi Lebanon sambil menyifatkan usaha itu sebagai yang paling serius untuk menamatkan pertempuran.

Encik Ali Hassan Khalil, pembantu Speaker Parlimen Lebanon, Encik Nabih Berri, berkata Lebanon telah menyampaikan jawapan bertulisnya kepada Duta Amerika di Lebanon pada 18 November.

Utusan Rumah Putih, Encik Amos Hochstein, pula sedang dalam perjalanan ke Beirut untuk meneruskan perbincangan mengenainya. Tiada komen segera daripada Israel.

Hezbollah, gerakan bersenjata yang disokong Iran, menyokong sekutu lamanya, Encik Berri untuk berunding mengenai gencatan senjata.

“Lebanon membentangkan ulasannya di atas kertas dalam suasana positif,” kata Encik Khalil, yang enggan memberikan butiran lanjut.

“Semua komen yang kami kemukakan mengesahkan pematuhan yang tepat kepada Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1701 dengan semua peruntukannya,” tambah beliau.

Beliau merujuk kepada Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701, yang menamatkan perang sebelum ini antara Hezbollah dengan Israel pada 2006.

Syarat resolusi itu menetapkan Hezbollah tidak mempunyai kehadiran bersenjata di kawasan antara sempadan Lebanon-Israel dan Sungai Litani, yang mengalir kira-kira 30 kilometer ke utara sempadan.

Encik Khalil berkata kejayaan daya usaha itu kini bergantung kepada Israel dan jika Israel tidak mahu penyelesaian, “ia boleh menimbulkan 100 masalah”.

Israel telah lama mendakwa bahawa Resolusi 1701 tidak pernah dilaksanakan dengan betul, menunjukkan kehadiran Hezbollah di sepanjang sempadan.

Lebanon sebaliknya menuduh Israel melakukan pelanggaran termasuk menerbangkan pesawat perang di ruang udaranya.

Encik Khalil berkata Israel cuba berunding “di bawah serangan”, merujuk kepada peningkatan pengeboman ke atas Beirut dan kawasan pinggir selatan yang dikuasai Hezbollah.

“Ini tidak akan menjejaskan kedudukan kami,” katanya.

Dalam satu perkembangan lain di Gaza, konvoi 109 trak telah dirompak secara ganas selepas memasuki jaluran itu pada 16 November.

Ia mengakibatkan 98 trak hilang dalam apa yang disifatkan oleh pekerja bantuan sebagai salah satu kejadian terburuk dalam perang yang berlanjutan lebih 13 bulan.

Konvoi yang membawa makanan Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dan Program Makanan Sedunia (WFP) telah diarahkan oleh Israel untuk berlepas dalam masa yang singkat melalui laluan yang tidak dikenali dari lintasan Kerem Shalom, kata Cik Louise Wateridge, pegawai kecemasan kanan UNRWA.

“Kejadian ini menyerlahkan besarnya cabaran akses untuk membawa bantuan ke selatan dan tengah Gaza,” katanya, sambil menambah bahawa kecederaan berlaku dalam kejadian itu.

“Tanpa campur tangan segera, kekurangan makanan yang teruk akan menjadi lebih serius, seterusnya membahayakan nyawa lebih dua juta penduduk Palestin di Gaza yang amat bergantung kepada bantuan kemanusiaan untuk terus hidup,” ujar Cik Wateridge.

WFP dan Cogat, agensi ketenteraan Israel yang berurusan dengan hal ehwal awam Palestin, tidak segera menjawab ketika diminta mengulas mengenainya.

Cogat berkata ia melakukan semua yang boleh untuk memastikan bahawa bantuan yang mencukupi memasuki kawasan pantai dan bahawa Israel tidak menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg