Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Konflik Israel-Hezbollah kian bergolak, cetus kebimbangan meluas

Aug 26, 2024 | 5:30 AM
Kepulan asap dapat dilihat di perkampungan Kfar Hamam di Lebanon berikutan serangan udara Israel.
Kepulan asap dapat dilihat di perkampungan Kfar Hamam di Lebanon berikutan serangan udara Israel. - Foto AFP

BEIRUT: Serangan roket maut dilancarkan dan satu pusingan pembunuhan berlaku.

Ia mengembalikan kebimbangan ramai tentang tercetusnya perang lebih meluas di seluruh Timur Tengah.

Konflik yang berterusan dan membara antara Israel dengan kumpulan militan Hezbollah di Lebanon terbukti mampu membawa kemusnahan.

Selama hampir setahun, kedua-dua pihak saling mengatur serangan balas dengan teliti, bagi mengelakkan konflik lebih besar.

Namun kini, kejadian berbalas tembakan berlaku hampir setiap hari. Jumlahnya juga kian meningkat.

Gambar satelit menunjukkan dengan jelas betapa besarnya akibat yang ditanggung di kedua-dua belah sempadan.

Tentera Israel dan militan Hezbollah, yang disokong Iran, telah bertempur selama bertahun-tahun.

Tetapi konflik itu bertambah sengit pada Oktober, selepas sekutu Iran, Hamas, mengetuai serangan ke atas Israel dari Jaluran Gaza, sekali gus mencetuskan perang di sana.

Dalam pertempuran rentas sempadan antara Israel dengan Hezbollah, kemusnahan struktur yang paling meluas adalah di Lebanon, iaitu tempat ribuan bangunan rosak atau musnah.

Beribu-ribu serangan Israel sejak Oktober jauh mengatasi serangan Hezbollah ke atas Israel, berdasarkan perangkaan yang dikumpul Projek Data Peristiwa dan Lokasi Konflik Bersenjata, sebuah organisasi bukan mencari untung, yang mengkaji konflik dunia.

Menurut analisis data satelit oleh calon Doktor Falsafah (PhD), Encik Corey Scher, dari pusat siswazah Universiti Bandar New York (Cuny), sekitar satu perempat daripada struktur rosak di beberapa kampung.

Serangan udara dan tembakan Israel di Lebanon telah membunuh hampir 500 orang, sekurang-kurangnya 100 daripadanya orang awam, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kementerian Kesihatan Lebanon.

Menurut Pejabat Perdana Menteri Israel, Hezbollah telah melancarkan 7,500 roket, peluru berpandu dan dron, sejak permulaan perang di Gaza.

Serangan itu telah membunuh 43 orang di Israel, lebih separuh daripada mereka orang awam, dan membakar sebahagian besar tanah ladang.

Israel Utara menyaksikan lebih 700 kebakaran hutan, dan negara itu mendakwa ia adalah disebabkan oleh tembakan meriam bertalu-talu oleh Hezbollah.

Bukan Israel sahaja yang menghadapi kebakaran.

Pertempuran itu telah menyebabkan kebakaran besar di kedua-dua belah sempadan, dan ramai bimbang ia boleh menyebabkan kerosakan berpanjangan pada tanah, yang memainkan peranan penting dalam pengeluaran makanan.

Banyak kampung berhampiran sempadan di kedua-dua belah pihak menjadi bandar tinggal atau ghost town kerana tidak lagi didiami oleh penghuni kerana kehabisan sumber ekonomi untuk menampung kehidupan.

Sekitar 60,000 orang di utara Israel dan 100,000 di selatan Lebanon kehilangan tempat kediaman akibat pertempuran di sepanjang sempadan sejak Oktober, tanpa garis masa yang jelas untuk pulang.

Kini, terdapat kebimbangan bahawa seperti kebakaran hutan, konflik itu sendiri mungkin merebak.

Dalam tiga minggu lalu, serangan telah meningkat, mengancam berlakunya perang serantau yang lebih besar.

Pada Julai, roket dari Lebanon membunuh 12 orang awam di sebuah bandar di Bukit Golan yang dikuasai Israel.

Ia adalah serangan maut ke atas wilayah yang dikuasai Israel sejak serangan 7 Oktober yang diketuai oleh Hamas.

Israel bertindak balas dengan menyerang pinggir selatan Beirut, membunuh seorang pemimpin Hezbollah dan lima orang awam, lapor pihak berkuasa Lebanon.

Seorang tokoh kanan Hamas dibunuh beberapa jam kemudian, di ibu negara Iran.

Kedua-dua Hezbollah dan Iran saling berikrar membalas dendam.

Bandar di sempadan Lebanon dengan Israel, yang kebanyakannya didiami penganut Islam Syiah, merupakan benteng sokongan kepada Hezbollah. Namun, terdapat juga enklaf Kristian dan Muslim ahli sunah waljamaah.

Beberapa bandar di sempadan yang telah menanggung banyak kemusnahan dalam serangan terkini itu adalah tempat pertempuran darat yang sengit pada 2006, apabila Israel dan Lebanon kali terakhir berperang.

Dengan permusuhan yang semakin memuncak, sebahagian warga Israel mahu negara mereka melancarkan serangan berskala penuh sekali lagi.

Namun, ada juga yang bimbang tindak balas habis-habisan daripada Hezbollah boleh mengakibatkan kemusnahan.

Senjata peluru berpandu bertepatan canggih pihak militan dianggap mampu menyerang bandar di seluruh Israel, seiring prasarana utama seperti loji kuasa dan pelabuhan.

Panglima tentera Israel turut mempunyai kebimbangan tersendiri.

Selain masih dibelenggu peperangan menentang Hamas di Gaza, Israel turut berdepan dengan simpanan peluru yang semakin berkurangan.

Mereka tidak pasti betapa sengitnya tentangan yang bakal dihadapi di Lebanon kelak. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg