Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jeneral AS: Risiko perang reda selepas Israel-Hezbollah berbalas serangan

Beri amaran ancaman serangan Iran bagi balas pembunuhan pemimpin Hamas masih wujud
Aug 27, 2024 | 11:56 AM
Ketua Turus Bersama, Jeneral Tentera Udara C.Q. Brown (kiri), disambut oleh pegawai tinggi tentera Mesir setibanya di Kahirah pada 25 Ogos.
Ketua Turus Bersama, Jeneral Tentera Udara C.Q. Brown (kiri), disambut oleh pegawai tinggi tentera Mesir setibanya di Kahirah pada 25 Ogos. - Foto REUTERS

TEL AVIV: Risiko perang jangka pendek yang lebih meluas di Timur Tengah kendur sedikit selepas Israel dan Hezbollah di Lebanon berbalas serangan tanpa peningkatan lanjut.

Namun, Iran masih menimbulkan bahaya ketara kerana ia menimbangkan serangan ke atas Israel, kata jeneral tertinggi Amerika pada 26 Ogos.

Ketua Turus Bersama, Jeneral Tentera Udara C.Q. Brown bercakap kepada agensi berita Reuters selepas pulang daripada lawatan tiga hari ke Timur Tengah.

Beliau terbang ke Israel hanya beberapa jam selepas Hezbollah melancarkan ratusan roket dan dron ke arah Israel, dengan tentera Israel pula menyerang Lebanon dalam usaha menggagalkan serangan yang lebih besar.

Ia adalah salah satu pertempuran terbesar dalam tempoh lebih 10 bulan peperangan di sempadan kedua-dua negara, tetapi ia juga berakhir dengan kerosakan terhad di Israel dan tanpa ancaman segera lebih banyak tindak balas daripada kedua-dua pihak.

Jeneral Brown menyatakan serangan Hezbollah hanyalah satu daripada dua ancaman besar terhadap Israel yang timbul dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Iran juga mengancam serangan sebagai membalas pembunuhan seorang pemimpin Hamas, Encik Ismail Haniyeh, di Teheran pada Julai.

Ditanya sama ada risiko perang serantau telah berkurangan, Jeneral Brown berkata: “Mungkin, ya.”

“Anda tentu tahu dua perkara akan berlaku. Satu sudah berlaku. Sekarang ia bergantung kepada bagaimana yang kedua akan menyusul.

“Bagaimana Iran bertindak balas akan menentukan bagaimana Israel melakukan perkara yang sama. Ia juga akan menentukan sama ada akan ada konflik yang lebih luas atau tidak,” tambah Jeneral Brown.

Beliau mengingatkan bahawa terdapat juga risiko yang ditimbulkan oleh sekutu Iran seperti Iraq, Syria dan Jordan yang telah menyerang tentera Amerika.

Houthi Yaman juga telah menyasarkan perkapalan di Laut Merah dan juga meluncurkan dron ke arah Israel.

Jeneral Brown berkata tentera Amerika berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk membantu pertahanan Israel, dan pasukannya sendiri di Timur Tengah.

Ini berbanding pada 13 April apabila Iran melancarkan serangan berupa ratusan dron, peluru berpandu dan balistik ke atas Israel.

Namun, Israel, Amerika dan sekutu lain berjaya memusnahkan hampir semua senjata tersebut sebelum mencapai sasaran mereka.

Beliau menyatakan tentera Amerika akan mengekalkan dua kumpulan penyerang kapal induk di Timur Tengah dan skuadron tambahan jet pejuang F-22.

Jeneral Brown menambah apa sahaja rancangan tentera Iran bergantung kepada pemimpin politik negara itu untuk membuat keputusan.

“Mereka mahu melakukan sesuatu yang menghantar mesej tetapi mereka juga, saya fikir... tidak mahu melakukan sesuatu yang akan mewujudkan konflik yang lebih luas,” tegasnya.

Menurut beliau, pentadbiran Presiden Amerika, Encik Joe Biden, telah berusaha untuk mengehadkan kesan daripada perang antara Hamas dengan Israel di Gaza yang bakal masuk bulan ke-11. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg