BAITULMAKDIS: Israel mengebom sasaran di Lebanon dan Jaluran Gaza pada 6 Oktober menjelang ulang tahun setahun serangan Hamas pada 7 Oktober yang mencetuskan perang, ketika menteri pertahanan Israel mengisytiharkan semua pilihan terbuka untuk membalas dendam terhadap musuh ketatnya Iran.
Roket Hezbollah yang diluncurkan lewat pada 6 Oktober telah melepasi sistem pertahanan udara Israel dan melanda di Haifa, bandar ketiga terbesar Israel, menyebabkan kerosakan pada bangunan, kata polis.
Media Israel melaporkan 10 orang cedera dalam serangan roket di Haifa dan bandar Tiberias.
Serangan udara Israel di pinggir bandar selatan Beirut pada 6 Oktober adalah pengeboman paling hebat ke atas ibu negara Lebanon sejak Israel meningkatkan kempennya secara mendadak menentang Hezbollah yang disokong Iran pada September.
Tentera Israel berkata jet pejuangnya menyerang sasaran di Beirut kepunyaan Markas Perisikan Hezbollah dan kemudahan penyimpanan senjata.
Ia berkata serangan juga menyasarkan Hezbollah di selatan Lebanon dan kawasan Beqaa.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 6 Oktober berkata tenteranya akan menang dan berjaya “menukar sepenuhnya realiti” sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, yang menyebabkan negara itu terlibat dalam dua peperangan.
Serangan Israel ke atas sebuah bangunan di bandar pergunungan Kayfoun di tengah Lebanon pada 6 Oktober telah membunuh enam orang dan mencederakan 13 yang lain.
Serangan di bandar berhampiran Qmatiye membunuh enam lagi, termasuk tiga kanak-kanak dan mencederakan 11 orang.
Di Gaza, sekurang-kurangnya 26 orang terbunuh dan 93 yang lain cedera dalam serangan Israel pada 6 Oktober, menurut pejabat media yang dikendalikan Hamas.
Serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, telah membunuh 1,200 orang dan lebih 240 yang lain ditahan sebagai tebusan.
Serangan balas dan berterusan Israel di Gaza telah membunuh hampir 42,000 rakyat Palestin.
Menjelang ulang tahun itu, penunjuk perasaan pro-Palestin membantah Israel di seluruh dunia dari Jakarta ke Istanbul dan Rabat, serta di ibu kota utama Eropah, Washington dan New York pada 5 Oktober.
Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Israel pada 1 Oktober sebagai tindak balas terhadap operasinya di Lebanon dan Gaza serta pembunuhan pemimpin kumpulan-kumpulan sekutunya.
Israel berikrar membalas dendam di tengah-tengah kebimbangan meningkatnya konflik dan peperangan serantau.
Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, berkata Israel akan memutuskan secara bebas bagaimana untuk bertindak balas terhadap Iran walaupun ia saling bekerja rapat dan menyelaras langkah dengan sekutunya, Amerika Syarikat.
Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, berkata pada hujung minggu bahawa penghantaran senjata ke Israel harus dihentikan.
Israel berkata langkah sedemikian akan memenuhi tujuan Iran.
Hamas memuji serangan 7 Oktober yang ‘gemilang’ menjelang genap setahun peperangan tersebut. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg