BEIRUT: Iran memberi amaran keras kepada Israel agar tidak melancarkan sebarang serangan terhadap Republik Islam itu sedang Israel memberi tekanan dengan terus membedil selatan Lebanon.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araqchi, pada 8 Oktober menyatakan bahawa sebarang serangan ke atas infrastruktur Iran akan dibalas dengan tindakan balas yang tegas, memberi amaran kepada Israel untuk tidak mencuba menyerang negaranya.
Dalam masa yang sama, ketegangan di Timur Tengah terus memuncak apabila tentera Israel meningkatkan tekanan ke atas Hezbollah, kumpulan militan yang disokong oleh Iran di Lebanon.
Pada 8 Oktober, Israel mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa mereka berjaya menghapuskan komander pusat operasi Hezbollah dalam serangan udara berhampiran Beirut, ibu negara Lebanon. Tentera Israel dalam satu kenyataan mengesahkan mereka telah membunuh komander markas Hezbollah, Encik Suhail Hussein Husseini, dalam satu serangan di Beirut.
Jika kematian Encik Suhail disahkan, ia merupakan sebahagian daripada strategi Israel yang bertujuan memberi tamparan hebat kepada Hezbollah dan Hamas melalui pembunuhan pemimpin-pemimpin utamanya. Israel membunuh pemimpin utamanya, Encik Hassan Nasrallah, dalam satu serangan udara di kawasan pinggir selatan Beirut pada akhir September.
Israel turut meluaskan serangan ke atas selatan Lebanon dan menggempur pinggir selatan ibu kota Beirut ketika Hezbollah meluncurkan peluru berpandu ke arah utara Israel, termasuk berhampiran bandar Haifa.
Tentera Israel berkata ia melakukan 120 serangan ke atas kedudukan Hezbollah di selatan Lebanon “dalam masa sejam” pada 7 Oktober. Serangan awal ke atas bangunan perbandaran berhampiran Bint Jbeil membunuh sekurang-kurangnya 10 anggota bomba Lebanon, menurut Kementerian Kesihatan Awam Lebanon.
Dalam masa yang sama, pada 8 Oktober, Israel menghantar kereta kebal lebih jauh ke dalam kawasan Jabalia di utara Semenanjung Gaza, sambil memberi amaran kepada penduduk supaya segera meninggalkan kawasan tersebut ketika mereka menyerang kem pelarian Palestin bersejarah itu dari udara, menurut penduduk tempatan.
Pasukan perubatan Palestin melaporkan bahawa terdapat mangsa korban di Jabalia, namun mereka menghadapi kesukaran untuk sampai ke kawasan yang sedang diserang hebat.
Tentera Israel menjelaskan bahawa operasi mereka di Jabalia bertujuan untuk menghentikan kumpulan Hamas daripada melancarkan serangan dari kawasan tersebut, selain menghalang mereka daripada berkumpul semula.
Penduduk Gaza menggunakan media sosial untuk menyebarkan mesej kecemasan seperti “Jabalia sedang dihapuskan,” menggambarkan kehancuran yang sedang berlaku di sana. Pada 7 Oktober, penduduk Palestin memperingati ulang tahun pertama perang Israel-Hamas yang bermula pada 7 Oktober 2023, setelah serangan oleh Hamas ke atas Israel selatan mencetuskan konflik ini.
Sedang Encik Araqchi memberi amaran kepada Israel, beliau juga dijadualkan melawat Arab Saudi dan beberapa negara lain di rantau ini bermula pada 8 Oktober untuk membincangkan isu-isu serantau serta berusaha menghentikan “jenayah” yang dilakukan Israel di Gaza dan Lebanon, lapor media negara Iran.
Negara-negara Teluk Arab, kebanyakannya pengeksport tenaga utama seperti Iran, telah cuba menenangkan Teheran dengan memberi jaminan bahawa mereka bersikap neutral dalam konflik antara Iran dan Israel, menurut sumber yang dilaporkan oleh Reuters.
“Dialog kami masih berterusan mengenai perkembangan di rantau ini untuk menghalang jenayah keji rejim Zionis (Israel) di Lebanonn, yang merupakan lanjutan daripada jenayah di Gaza,” kata Encik Araqchi dalam satu video yang disiarkan oleh media negara.
“Mulai hari ini, saya akan memulakan perjalanan ke rantau ini, ke Riyadh dan ibu negara lain di wilayah ini. Kami akan berusaha untuk menggerakkan tindakan bersama dari negara-negara serantau... untuk menghentikan serangan kejam di Lebanon,” tambahnya.
Menteri-menteri dari negara-negara Teluk Arab dan Iran yang menghadiri mesyuarat negara-negara Asia yang dianjurkan oleh Qatar, telah menumpukan perbincangan mereka kepada usaha untuk meredakan ketegangan di rantau tersebut, menurut sumber yang disampaikan kepada Reuters.
Israel juga berkata ia akan menggempur pantai selatan Lebanon dan mengarahkan penduduk supaya menjauhi pantai dan laut sejauh 60 kilometer di sepanjang Mediterranean.
Hezbollah pula berkata ia melancarkan beberapa siri serangan roket ke atas utara Israel, termasuk dekat bandar pelabuhan Haifa dan ke atas kedudukan tentera Israel.
Sekurang-kurangnya 10 orang cedera dalam serangan awal ke atas Haifa. Ia adalah kali pertama bandar pelabuhan itu diserang sejak Israel dan Hezbollah mula berbalas tembakan rentas sempadan pada Oktober 2023.
Terdahulu, Israel melakukan lebih 30 serangan ke atas pinggir bandar selatan Beirut semalaman, pengeboman paling dahsyat sejak 23 September, hari Israel memulakan peningkatan serangan terhadap Lebanon, kata Agensi Berita Nasional (NNA) rasmi negara itu.
Sasaran termasuk stesen minyak di lebuh raya utama menuju ke lapangan terbang Beirut dan gudang untuk bekalan perubatan, lapor agensi itu.
Hezbollah juga berkata ia menyasarkan tentera Israel di dua perkampungan sempadan di selatan Lebanon dan mengebom tentera Israel yang melancarkan serangan darat di Maroun al-Ras.
Kumpulan itu juga berkata pejuangnya telah mengebom pasukan tentera Israel di kampung Blida.
Tentera Israel berkata dua askar Israel terbunuh dalam pertempuran di kawasan sempadan, menjadikan jumlah kematian tenteranya di Lebanon mencapai 11 orang.
Pihak berkuasa kesihatan Lebanon berkata serangan Israel ke atas negara itu selama setahun telah membunuh sekurang-kurangnya 2,083 orang dan mencederakan 9,869 yang lain.
Lebih satu juta orang telah kehilangan tempat tinggal, kebanyakannya dari pekan dan kampung di selatan Lubnan, menurut pihak berkuasa tempatan.
Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian, Encik Filippo Grandi, berkata Lebanon sedang melihat “krisis perpindahan besar” akibat serangan udara Israel yang semakin meningkat dan sesetengahnya telah melanggar undang-undang antarabangsa.
PBB telah merayu bagi mendapatkan dana sebanyak AS$425.7 juta (S$555 juta) untuk menangani krisis kemanusiaan di Lebanon. Kira-kira 40 peratus telah dibiayai setakat ini.
Encik Grandi juga berkata terdapat “banyak kejadian pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa dalam cara Israel melancarkan serangan udara yang telah memusnahkan atau merosakkan infrastruktur awam. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg