BAITULMAKDIS: Israel dan pergerakan Hezbollah Lebanon berbalas-balas tembakan pada petang Isnin selepas kumpulan Lebanon itu mendakwa tiga daripada anggotanya terbunuh dalam serangan Israel pada awal hari, meningkatkan kebimbangan perang serantau yang lebih meluas.
Hezbollah berkata ia membedil sepasang pemasangan tentera Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pejuangnya dalam serangan Israel.
Tentera Israel mengesahkan serangan dari Lebanon dan berkata ia bertindak balas dengan tembakan meriam.
Terdahulu pada hari Isnin tentera udara Israel berkata ia melancarkan serangan ke atas sebuah kampung di wilayah Lebanon sebagai tindak balas kepada pencerobohan oleh kumpulan bersenjata yang menyeberang ke Israel.
Tentera Israel membunuh sejumlah suspek semasa kejadian itu, kata tentera.
Peningkatan di sempadan utara Israel dengan Lebanon berlaku dua hari selepas militan Hamas melancarkan serangan besar-besaran ke atas selatan Israel dari Gaza yang telah pun disekat.
Peperangan antara Israel dan Hezbollah, disokong rakyat Palestin adalah senario yang mungkin boleh mengheret Lebanon dan wilayah itu ke dalam konflik dahsyat.
Hezbollah mengeluarkan kenyataan berasingan yang mengesahkan kematian anggotanya yang disifatkan sebagai “mati syahid akibat pencerobohan Zionis di selatan Lebanon,” kata kumpulan itu.
Sumber Hezbollah sebelum ini memberitahu agensi berita AFP bahawa seorang anggotanya terbunuh “dalam serangan Israel ke atas menara pemerhati di selatan Lebanon” berhampiran perkampungan Aita Al-Shaab.
Sayap bersenjata kumpulan Jihad Islam Palestin, yang mendakwa memerangi Israel bersama Hamas, berkata sebelum ini bahawa ia berada di sebalik usaha yang digagalkan untuk menyusup masuk ke Israel dari Lebanon.
“Briged Al-Quds mengaku bertanggungjawab melakukan operasi di sempadan selatan Lebanon,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Datuk Bandar Dhayra, di sempadan Lebanon, berkata Israel membedil kawasan perkampungan itu.
“Ladang di pinggir kampung itu mengalami tembakan artileri Israel yang kuat, didahului dengan tembakan berselang-seli,” kata Datuk Bandar Dhayra, Encik Abdullah Al-Gharib, kepada AFP.
Hezbollah, yang musuh utamanya ialah Israel, sebelum ini menafikan sebarang penglibatan dalam pertempuran di sempadan.
Seorang jurugambar AFP yang berada di tempat kejadian berkata beliau melihat berpuluh-puluh keluarga Lebanon dan Syria melarikan diri ketika pinggir perkampungan Aita Al-Shaab mengalami pengeboman hebat.
Tentera Lebanon dalam satu kenyataan berkata kawasan pinggir “Dhayra, Aita Al-Shaab dan kawasan sempadan lain telah menjadi sasaran pengeboman udara dan artileri oleh musuh Israel”.
Israel telah memberi amaran kepada Hezbollah agar tidak terlibat dalam peperangan dengan Gaza. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg