Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hezbollah, Israel berbalas tembakan hebat

Ia berlaku kurang 48 jam selepas serangan udara oleh Israel di pinggir ibu kota Lebanon
Sep 22, 2024 | 3:31 PM
Asap mengepul dari Jabal al-Rihan, di tengah-tengah permusuhan rentas sempadan yang berterusan antara Hezbollah dengan tentera Israel, seperti yang digambarkan dari Marjayoun, berhampiran sempadan Israel, pada 21 September 2024.
Asap mengepul dari Jabal al-Rihan, di tengah-tengah permusuhan rentas sempadan yang berterusan antara Hezbollah dengan tentera Israel, seperti yang digambarkan dari Marjayoun, berhampiran sempadan Israel, pada 21 September 2024. - Foto REUTERS

BEIRUT/KAHIRAH: Israel dan Lebanon berbalas tembakan hebat pada 22 September, dengan pesawat pejuang Israel melakukan pengeboman paling hebat dalam perang hampir setahun di selatan Lebanon, manakala Hezbollah mendakwa telah melancarkan roket ke atas sasaran tentera di utara Israel.

Tentera Israel menyatakan ia menyerang sekitar 290 sasaran pada 21 September termasuk ribuan laras pelancar roket Hezbollah dan berkata ia akan terus menyerang sasaran pergerakan yang disokong Iran itu.

Israel telah menutup sekolah-sekolah dan menyekat perhimpunan di banyak kawasan utara negara itu dan Bukit Golan pada awal 22 September.

Semboyan berbunyi sepanjang malam ketika beberapa roket dan peluru berpandu dilepaskan dari Lebanon dan Iraq, kebanyakannya dipintas oleh sistem pertahanan udara Israel, menurut tentera Israel.

Media Israel melaporkan beberapa bangunan telah terkena peluru berpandu secara langsung atau dihujani serpihannya, dan perkhidmatan ambulans berkata mereka merawat beberapa orang yang cedera ringan.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan serius dilaporkan.

Hezbollah menyatakan ia menyasarkan Pangkalan Udara Ramat David Israel dengan berpuluh-puluh peluru berpandu sebagai tindak balas kepada “serangan berulang Israel ke atas Lebanon”, menurut siaran kumpulan itu di saluran Telegramnya pada awal 22 September.

Serangan roket berturut-turut oleh Hezbollah di Ramat David adalah serangan paling hebat yang didakwa dilakukannya sejak permusuhan bermula.

Militan Iraq yang disokong Iran dalam satu kenyataan turut mendakwa melakukan serangan dron letupan ke atas Israel pada awal 22 September.

Serangan yang semakin meningkat itu berlaku kurang 48 jam selepas serangan udara Israel yang menyasarkan komander Hezbollah yang membunuh sekurang-kurangnya 37 orang di pinggir ibu kota Lebanon, menurut pihak berkuasa.

Hezbollah, kumpulan kuat yang disokong Iran, menyatakan 16 anggotanya termasuk pemimpin kanan, Encik Ibrahim Aqil, dan komandernya, Encik Ahmed Wahbi, antara yang terbunuh pada 20 September dalam serangan paling dahsyat dalam hampir setahun konflik dengan Israel.

Tentera Israel berkata ia telah menyerang perhimpunan bawah tanah Encik Aqil dan pemimpin pasukan elit Radwan Hezbollah, dan hampir memusnahkan rantaian perintah tenteranya sepenuhnya.

Serangan itu meratakan sebuah bangunan kediaman bertingkat di pinggir bandar yang sesak dan merosakkan tapak semaian bersebelahan, menurut sumber keselamatan.

Tiga kanak-kanak dan tujuh wanita antara yang terbunuh, menurut kementerian kesihatan Lebanon.

Serangan 20 September itu telah memburukkan konflik secara mendadak dan menimbulkan satu lagi tamparan terhadap Hezbollah, selepas serangan selama dua hari yang mana alat kelui dan alat ‘walkie-talkie’ yang digunakan oleh anggotanya meletup.

Angka kematian dalam serangan itu, yang banyak pihak percaya dilakukan oleh Israel, telah meningkat kepada 39 dengan lebih 3,000 cedera.

Israel tidak mengesahkan mahupun menafikan penglibatannya.

Dalam apa yang dikatakan sebagai tindakan balas awal atas serangan dengan peranti meletup itu, Hezbollah pada 22 September menyiarkan di salurannya di Telegram bahawa ia telah melancarkan roket di kemudahan perusahaan ketenteraan Israel.

Penasihat keselamatan negara Amerika Syarikat, Encik S Jake Sullivan, berkata beliau bimbang tentang peningkatan konflik itu tetapi pembunuhan seorang pemimpin tertinggi Hezbollah oleh Israel merupakan tindakan keadilan ke atas kumpulan itu, yang Washington anggap sebagai pengganas. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg