Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel lancar serangan paling hebat ke atas Lebanon

Konflik Israel-Hezbollah meningkat di tengah gesaan AS, Britain agar ketegangan dihenti
Sep 20, 2024 | 3:15 PM
Asap tebal dilihat di ruang udara perkampungan Adshit di selatan Lebanon ekoran serangan udara Israel pada 19 September.
Asap tebal dilihat di ruang udara perkampungan Adshit di selatan Lebanon ekoran serangan udara Israel pada 19 September. - Foto AFP

BEIRUT/BAITULMAKDIS: Jet-jet pejuang Israel melancarkan serangan paling hebat ke atas selatan Lebanon dalam tempoh perang hampir setahun, meningkatkan konflik antara Israel dengan Hezbollah di tengah-tengah desakan supaya menahan diri.

Rumah Putih berkata penyelesaian diplomatik masih boleh dicapai dan Britain menggesa gencatan senjata segera antara Israel dengan Hezbollah.

“Amerika bimbang tentang potensi peningkatan,” kata jurucakap Rumah Putih, Cik Karine Jean-Pierre, dalam taklimat media.

Pengeboman itu berlaku selepas serangan awal minggu yang menyaksikan ‘walkie-talkie’ dan alat kelui Hezbollah diletupkan.

Lebanon dan Hezbollah mengaitkan Israel dengan serangan itu yang membunuh 37 orang dan mencederakan kira-kira 3,000 di Lebanon.

Dalam operasi pada malam 19 September di selatan Lebanon itu, tentera Israel berkata serangan jet-jet pejuangnya selama dua jam disasarkan terhadap sekitar 100 pelancar pelbagai roket yang boleh diluncurkan serta-merta ke arah Israel.

Pengeboman itu termasuk lebih 52 serangan di seluruh selatan Lebanon yang dilancarkan selepas 9 malam, kata agensi berita negara Lebanon, NNA.

Tiga sumber keselamatan Lebanon berkata ini adalah serangan udara paling hebat sejak konflik bermula pada Oktober. Tiada laporan segera mengenai kemalangan jiwa.

Dalam ucapan menerusi televisyen, pemimpin Hezbollah, Encik Hassan Nasrallah, berkata letupan peranti pada 17 dan 18 September itu “melepasi semua garis merah”.

“Musuh melampaui semua kawalan, undang-undang dan moral,” katanya sambil menambah serangan itu “boleh dianggap jenayah perang atau pengisytiharan perang”.

Israel tidak secara langsung telah mengulas mengenai letupan alat kelui dan ‘walkie-talkie’, yang menurut sumber keselamatan mungkin dilakukan oleh agensi perisik Mossadnya, yang mempunyai sejarah panjang melakukan serangan canggih di negara asing.

Kedutaan Lebanon ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berkata dalam surat kepada Majlis Keselamatan pada 19 September bahawa Israel bertanggungjawab meletupkan peranti itu melalui mesej elektronik dan bahan letupan yang diselitkan di dalamnya.

Perdana Menteri Lebanon, Encik Najib Mikati, menggesa Majlis Keselamatan mengambil pendirian tegas untuk menghentikan “pencerobohan” dan “perang teknologi” Israel.

Ketika siaran Encik Nasrallah disiarkan, bunyi gegaran sonik yang memekakkan telinga daripada jet pejuang Israel menggegarkan Beirut, bunyi yang menjadi perkara biasa dalam beberapa bulan kebelakangan ini tetapi semakin ketara apabila ancaman perang habis-habisan semakin meningkat.

Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, berkata Israel akan meneruskan tindakan ketenteraan terhadap Hezbollah.

“Matlamat kami adalah memastikan penduduk di utara Israel selamat pulang ke rumah mereka. Apabila masa berlalu, Hezbollah akan membayar harga yang semakin meningkat,” kata Encik Gallant.

Hezbollah melepaskan peluru berpandu ke arah Israel sehari selepas serangan rentas sempadan 7 Oktober oleh kumpulan Hamas yang mencetuskan perang Gaza.

Sejak itu, Hezbollah dan Israel telah berbalas tembakan tetapi kedua-dua pihak tidak membenarkan perkara tersebut meningkat menjadi perang besar-besaran.

Encik Nasrallah berkata Hezbollah berharap tentera Israel akan memasuki selatan Lebanon kerana itu akan mewujudkan “peluang bersejarah” untuk kumpulan yang disokong Iran itu.

Di Paris, Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, menyeru kedua-dua pihak agar menahan diri agar tidak menyukarkan pencapaian gencatan senjata di Gaza. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg