BAITULMAKDIS/BEIRUT: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, menyuarakan kebimbangan mendalam berhubung pertempuran sengit merentasi sempadan Israel dan Hezbollah sepanjang malam.
Demikian menurut satu kenyataan jurucakap beliau pada 25 Ogos.
“Tindakan ini membahayakan nyawa penduduk serta menimbulkan ancaman serius terhadap keselamatan dan kestabilan serantau.
“Setiausaha Agung menggesa supaya meredakan ketegangan dan menyeru pihak terlibat supaya segera melaksanakan Resolusi 1701 (2006) serta menghentikan segala bentuk permusuhan,” kata jurucakap itu, Encik Stephane Dujarric.
Hezbollah melancarkan ratusan roket dan dron ke Israel awal 25 Ogos dan tentera Israel pula menyerang Lebanon dengan sekitar 100 jet pejuang untuk menggagalkan serangan lebih besar.
Serangan antara kededua belah pihak itu adalah antara pertempuran terbesar dalam peperangan lebih 10 bulan di dua negara tersebut.
Peluru berpandu dilihat meluncur di langit ketika semboyan tanda berlakunya serangan udara bergema di Israel dan asap berkepul-kepul menerawang angkasa di kawasan perumahan di Khiam, selatan Lebanon.
Pada petang 25 Ogos, semboyan dibunyikan di Rishon Letsiyon, tengah Israel, kata Pasukan Pertahanan Israel (IDF), sambil menambah bahawa peluru berpandu yang dipercayai diluncurkan dari selatan Gaza jatuh di kawasan lapang.
Sayap bersenjata Hamas berkata ia telah melancarkan roket ‘M90’ ke Tel Aviv.
Sebarang limpahan besar dalam pertempuran itu, yang bermula selari dengan perang di Gaza, berisiko berubah menjadi konflik serantau yang menarik Iran, iaitu penyokong Hezbollah, dan sekutu utama Israel, Amerika Syarikat.
Dengan tiga kematian disahkan di Lebanon dan satu di Israel, kedua-dua pihak menyatakan mereka cuba mengelak peningkatan selanjutnya buat masa ini, tetapi memberi amaran mungkin lebih banyak serangan menyusul kelak.
Pemimpin Hezbollah, Encik Sayyed Hassan Nasrallah, berkata serangan kumpulan itu sebagai tindak balas bagi pembunuhan komander kanannya, Encik Fuad Shukr, pada Julai telah selesai “seperti yang dirancang”.
Bagaimanapun, kumpulan itu akan menilai kesan serangannya dan “jika hasilnya tidak mencukupi, kami mengekalkan hak bertindak balas pada masa lain”, katanya.
Menteri Luar Israel berkata negaranya tidak mahu terlibat dalam perang besar-besaran, tetapi Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memberi amaran: “Ini bukan penghujung cerita.”
Sebelum ini, Encik Netanyahu berkata: “Kami bertekad melakukan segala yang kami mampu untuk mempertahankan negara kami... sesiapa yang mencederakan kami – kami akan mencederakan mereka.”
Kedua-dua pihak telah bertukar-tukar mesej yang tidak mahu diperbesarkan lagi, dengan inti pati utamanya ialah serang-menyerang itu telah “selesai”, dua diplomat memberitahu Reuters.
Jangkaan peningkatan konflik berlaku sejak serangan peluru berpandu di Bukit Golan, yang diduduki Israel, pada Julai, yang membunuh 12 orang dan tentera Israel membunuh Encik Shukr di Beirut sebagai tindak balas.
Hezbollah menangguhkan tindak balasnya untuk memberi masa kepada rundingan gencatan senjata Gaza, dan mengatur serangannya bagi mengelak mencetuskan perang besar-besaran, kata seorang pegawai Hezbollah.
Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Lloyd Austin, mengarahkan kehadiran dua kumpulan kapal perang induk ke Timur Tengah bagi memperkukuh kehadiran tentera Amerika di rantau itu.
Panglima Tentera Amerika, Jeneral C.Q. Brown, tiba di Israel untuk berbincang dengan pemimpin tentera negara itu. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg