Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Konflik Israel-Hezbollah kian meruncing

Aug 25, 2024 | 5:32 PM
Sebuah dron Hezbollah dipintas oleh sistem pertahanan peluru berpandu Israel, dalam serangan Hezbollah pada 25 Ogos 2024.
Sebuah dron Hezbollah dipintas oleh sistem pertahanan peluru berpandu Israel, dalam serangan Hezbollah pada 25 Ogos 2024. - Foto EPA-EFE

BAITULMAKDIS/BEIRUT: Hezbollah melancarkan ratusan roket dan dron ke atas Israel pada 25 Ogos, sebagai tindak balas terhadap pembunuhan komander kanan kumpulan itu di Beirut pada Julai.

Namun, tentera Israel berkata ia berjaya menghalang serangan lebih besar dengan melancarkan serangan awal, setelah ia menilai bahawa kumpulan itu sedang membuat persiapan untuk mulakan serangan.

Sekitar 100 jet Israel menyerang lebih 40 tapak pelancaran Hezbollah di selatan Lebanon tidak lama sebelum kumpulan itu melancarkan serangan, memusnahkan beberapa ribu laras pelancar roket Hezbollah yang menyasarkan kawasan utara dan tengah Israel, kata tentera Israel dalam satu kenyataan.

Hezbollah menyatakan ia melancarkan lebih 320 roket Katyusha ke arah Israel yang terkena 11 sasaran ketenteraan.

Serangan pada 25 Ogos itu adalah antara pertempuran terbesar antara kededua pihak itu, sejak tercetusnya konflik antara Israel dengan Hezbollah.

Menurut Hezbollah, serangan besar-besaran itu menamatkan “fasa pertama” tindak balas atas pembunuhan komander Hezbollah Fuad Shukr di Beirut.

Namun tindak balas penuh “akan mengambil sedikit masa”, tambahnya.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengumumkan bahawa Kabinet negara itu berjumpa sekitar 7 pagi (12 tengah hari waktu Singapura) pada 25 Ogos, tetapi tiada butiran lanjut mengenai serang balas daripada Israel.

Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, berkata Israel akan melakukan apa yang perlu untuk mempertahankan diri.

“Kami telah melakukan serangan tepat ke atas Lebanon untuk menghalang sebarang ancaman yang mungkin berlaku terhadap rakyat Israel.

“Kami mengikuti perkembangan di Beirut, dan kami berazam menggunakan segala cara untuk melindungi rakyat kami,” kata Encik Gallant dalam satu kenyataan.

Sejumlah besar serangan Israel dilancarkan ke arah selatan Lebanon.

Encik Gallant mengisytiharkan keadaan darurat dan penerbangan menuju dan daripada Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv ditangguhkan.

Namun pihak berkuasa lapangan terbang itu menyatakan operasi dijangka bersambung seperti biasa sekitar 7 pagi.

Di utara Israel, siren amaran berbunyi dan beberapa letupan kedengaran di beberapa kawasan, sedang sistem pertahanan peluru berpandu Israel, ‘Iron Dome’, memintas roket yang dilancarkan dari selatan Lebanon.

Perkhidmatan ambulans Israel, Magen David Adom, menyatakan ia berada dalam keadaan berjaga-jaga di seluruh negara.

Tentera Israel mengeluarkan arahan pertahanan awam yang membataskan perhimpunan.

Namun, ia membenarkan orang ramai pergi ke tempat kerja, asalkan mereka boleh sampai ke tempat perlindungan serangan udara dengan cepat.

Tiada kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan dalam serangan itu, menurut perkhidmatan ambulans itu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg