BEIRUT: Ketua Hezbollah, Hassan Nasrallah, memberi amaran “tiada tempat” di Israel akan terhindar sekiranya berlaku perang besar-besaran dengan kumpulan Lebanon itu dan mengancam Cyprus jika ia membuka lapangan terbangnya kepada Israel.
“Musuh tahu betul bahawa kita telah mempersiapkan diri untuk (menghadapi) yang terburuk... dan tiada tempat akan terhindar daripada serangan roket kami,” kata Encik Nasrallah dalam ucapan yang disiarkan di televisyen pada 19 Jun.
Israel mesti menjangkakan “serangan kita dari darat, laut dan udara”, katanya.
“Musuh benar-benar takut bahawa penentangan akan menembusi Galilee” di utara Israel, katanya, sambil menambah bahawa ini mungkin “dalam konteks perang terhadap Lebanon”.
Israel dan Hezbollah, sebuah pergerakan di Lebanon yang bersekutu dengan Hamas, telah saling berbalas-balas tembakan rentas sempadan hampir setiap hari sejak serangan kumpulan Palestin itu pada 7 Oktober ke atas selatan Israel yang mencetuskan perang di Jaluran Gaza.
Konflik antara kedua-dua pihak, yang kali terakhir berperang pada 2006, telah meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dan tentera Israel berkata pada 18 Jun bahawa “rancangan operasi untuk serangan di Lebanon telah diluluskan dan disahkan”.
Sebelum ini, Menteri Luar Israel, Encik Israel Katz, telah memberi amaran tentang kemusnahan Hezbollah dalam “peperangan kelak”.
Encik Nasrallah berkata kumpulannya yang disokong Iran itu telah dimaklumkan bahawa Israel boleh menggunakan lapangan terbang dan pangkalan di Cyprus jika Hezbollah menyerang lapangan terbang Israel.
Cyprus, anggota Kesatuan Eropah (EU), mempunyai hubungan baik dengan Israel dan Lebanon, dan terletak berhampiran dengan pantai kedua-dua negara.
“Membuka lapangan terbang dan pangkalan Cyprus kepada Israel untuk menyasarkan Lebanon bermakna pemerintah Cyprus adalah sebahagian daripada perang, dan penentangan juga adalah sebahagian daripada perang,” tegas Encik Nasrallah.
Kenyataan Encik Nasrallah dibuat sehari selepas utusan Amerika Syarikat, Encik Amos Hochstein – yang pada 2022 menjadi perantara perjanjian sempadan maritim antara Israel dengan Lebanon – menggesa agar kedua-dua pihak meredakan ketegangan ketika lawatannya ke Lebanon beberapa hari lalu.
Beliau juga telah bertemu para pegawai kanan di Israel dalam lawatan serantaunya itu. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg