Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel rancang serang Lebanon walau AS cuba halang perang

Jun 19, 2024 | 2:23 PM
Kebakaran berlaku di bahagian Israel yang terletak bersempadan dengan Lebanon ekoran serangan yang dilancarkan dari arah Lebanon pada 18 Jun.
Kebakaran berlaku di bahagian Israel yang terletak bersempadan dengan Lebanon ekoran serangan yang dilancarkan dari arah Lebanon pada 18 Jun. - Foto REUTERS

BEIRUT/BAITULMAKDIS: Menteri Luar Israel, Encik Israel Katz, memberi amaran pada 18 Jun bahawa keputusan mengenai perang habis-habisan dengan Hezbollah akan dibuat tidak lama lagi, walaupun Amerika Syarikat cuba mengelak sebarang peningkatan.

Utusan Amerika, Encik Amos Hochstein, telah dihantar ke Lebanon untuk cuba meredakan ketegangan berikutan peningkatan kebakaran rentas sempadan di selatan Lebanon dengan Israel.

Hezbollah turut membayangkan ia boleh menyerang Haifa, bandar ketiga terbesar Israel.

“Terdapat peningkatan sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Dan apa yang Presiden (Amerika) Joe Biden mahu lakukan ialah mengelakkan peningkatan selanjutnya kepada perang yang lebih besar,” kata Encik Hochstein pada 18 Jun.

Dalam lawatan Encik Hochstein itu, beliau bertemu ketua tentera Lebanon lebih awal pada 18 Jun dan bercakap kepada pemberita selepas pertemuan dengan Speaker Parlimen, Encik Nabih Berri, yang mengetuai pergerakan bersenjata Amal, yang bersekutu dengan Hezbollah dan juga telah melancarkan roket ke atas Israel.

Hezbollah yang disokong Iran, telah terlibat dalam konflik dengan Israel selama lapan bulan terakhir selari dengan perang Gaza.

Minggu lalu, kumpulan itu melepaskan tembakan roket dan dron terbesar ke atas Israel, selepas serangan Israel membunuh komander paling kanan setakat ini.

Encik Katz berkata dalam siaran X bahawa berikutan ugutan oleh ketua kumpulan itu, Encik Sayyed Hassan Nasrallah, untuk menyerang pelabuhan Haifa yang dikendalikan oleh syarikat China dan India, “kami semakin hampir dengan saat memutuskan untuk menukar aturan perlawanan dalam menentang Hezbollah dan Lebanon”.

“Dalam perang habis-habisan, Hezbollah akan dimusnahkan dan Lebanon akan diserang dengan teruk,” tambahnya.

Tentera Israel kemudian berkata “rancangan operasi untuk serangan di Lebanon telah diluluskan dan disahkan, dan keputusan telah diambil untuk meneruskan peningkatan tahap kesediaan tentera di lapangan”.

Hezbollah berkata ia tidak akan menghentikan serangannya melainkan gencatan senjata dicapai di Jaluran Gaza.

Jurucakap Pentagon berkata Amerika tidak mahu melihat perang serantau yang lebih meluas di Timur Tengah.

Sementara itu, Hezbollah telah menerbitkan video sepanjang sembilan minit 31 saat mengenai apa yang dikatakan sebagai rakaman dari pesawat pengawasan lokasi di Israel, termasuk bandar laut dan pelabuhan Haifa yang terletak 27 kilometer dari sempadan Lebanon.

Datuk Bandar Haifa, Encik Yona Yahav, berkata video Hezbollah adalah “keganasan psikologi terhadap penduduk Haifa dan utara”. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg