Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hezbollah serang tentera Israel di selatan Lebanon; 5 anggota pengaman PBB cedera

Oct 13, 2024 | 3:47 PM
Asap dilihat di beberapa kawasan di selatan Beirut di Lebanon pada 12 Oktober, di tengah-tengah konflik antara Hezbollah dengan tentera Israel.
Asap dilihat di beberapa kawasan di selatan Beirut di Lebanon pada 12 Oktober, di tengah-tengah konflik antara Hezbollah dengan tentera Israel. - Foto REUTERS

BEIRUT/CAIRO: Hezbollah berkata pada 13 Oktober bahawa ia telah menyerang tentera Israel yang cuba menyusup masuk ke perkampungan Ramiya, selatan Lebanon, sedang lima anggota misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) cedera dalam konflik yang semakin memuncak antara Israel dengan kumpulan yang disokong Iran itu.

Serangan Israel menggegarkan pangkalan utama Pasukan Interim PBB di Lebanon (Unifil) di selatan Lebanon, menyebabkan Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres dan 40 negara yang menyumbang kepada misi pengaman PBB di Lebanon itu, mengecam keras serangan tersebut.

“Tindakan ini harus segera dihentikan dan disiasat secukupnya,” menurut satu kenyataan yang antara lain ditandatangani Italy, Sepanyol, Perancis, China, India, Malaysia, Indonesia, Ghana dan Nepal, yang dimuat naik ke laman X oleh misi PBB di Poland.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, turut menyeru Israel supaya tidak menyerang Unifil manakala Russia pula melahirkan rasa marah dan menuntut Israel menahan daripada “tindakan bermusuhan” terhadap pasukan pengaman.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa Hezbollah meluncurkan hampir 320 peluru dari Lebanon ke Israel pada 12 Oktober dan memberi arahan kepada penduduk di 23 perkampungan selatan Lebanon supaya berpindah ke kawasan utara Sungai Awali, yang mengalir dari bahagian barat Lembah Bekaa ke Mediterranean.

Menurut IDF, pemindahan diperlukan demi keselamatan penduduk berikutan peningkatan kegiatan Hezbollah dan mendakwa bahawa kumpulan itu gunakan beberapa tempat untuk menyembunyikan senjata serta melancarkan serangan terhadap Israel.

Hezbollah bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa mereka menyembunyikan senjata dalam kalangan orang awam.

IDF juga mengeluarkan arahan pemindahan bagi dua kejiranan di utara Gaza pada 12 Oktober, dengan mengatakan bahawa ia kawasan pertempuran yang berbahaya.

Menerusi satu kenyataan, kementerian ehwal dalam negeri Gaza yang dikendali Hamas pula menggesa penduduk agar tidak berpindah.

Serangan tentera Israel di Gaza pada 12 Oktober mengorbankan sekurang-kurangnya 29 rakyat Palestin, menurut paramedik tempatan.

Ini sedang tentera itu terus bergerak ke arah utara memasuki kawasan Jabalia di mana agensi bantuan antarabangsa berkata ribuan orang terperangkap.

Konflik antara Israel dengan Hezbollah tercetus setahun lalu apabila kumpulan yang disokong Iran itu mula melancarkan roket ke arah utara Israel bagi menyokong Hamas, pada permulaan perang Gaza.

Israel telah meningkatkan operasi ketenteraan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, mengebom selatan Lebanon dan membunuh ramai pemimpin tertinggi Hezbollah, selain menggerakkan tentera darat untuk merentas sempadan.

Hezbollah pula telah melancarkan roket lebih jauh ke dalam Israel.

Unifil mengesahkan pada 12 Oktober bahawa salah seorang anggotanya cedera semasa satu serangan Israel pada 11 Oktober apabila beliau ditembak namun anggota itu kini dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru daripada tubuhnya.

Misi pengaman PBB di Lebanon itu juga memaklumkan bahawa prasarananya di bandar Ramyah di selatan Lebanon mengalami kerosakan besar akibat letupan menyusuli pengeboman di kawasan berhampiran.

Namun, mereka tidak menyatakan pihak yang bertanggungjawab bagi kedua-dua serangan itu.

Dua lagi anggota pasukan pengaman itu pula cedera menyusuli serangan Israel berhampiran menara pemerhati mereka di pangkalan utama Unifil di Naqoura di selatan Lebanon pada 11 Oktober.

Dalam satu panggilan telefon dengan Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Lloyd Austin, menyampaikan “keprihatinan yang mendalam” mengenai laporan bahawa tentera Israel telah menembak lokasi pasukan pengaman PBB di Lebanon kebelakangan ini dan menggesa Israel memastikan keselamatan mereka serta tentera Lebanon.

Encik Austin turut menekankan perlunya untuk beralih daripada operasi tentera di Lebanon kepada laluan diplomatik secepat mungkin.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Israel, Encik Gallant memberitahu Encik Austin bahawa IDF akan terus mengambil langkah untuk mengelakkan bahaya kepada pengaman PBB di selatan Lebanon. –Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg