ROME: Pemimpin Perancis, Italy dan Sepanyol mengecam serangan Israel yang menyasarkan misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon, satu tindakan yang disifatkan mereka sebagai tidak wajar dan harus segera dihentikan.
Dua anggota Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil) cedera akibat serangan Israel berhampiran menara pemerhati mereka di selatan Lebanon, kata tentera Israel, manakala letupan menggegarkan pangkalan utama pasukan pengaman di kawasan itu buat kali kedua dalam tempoh 48 jam ketika tentera Israel menggempur Hezbollah.
Dalam satu kenyataan bersama, Perancis, Italy dan Sepanyol – penyumbang terbesar Eropah kepada Unifil dari segi kakitangan – melahirkan rasa marah selepas beberapa anggota pasukan pengaman itu diserang di pangkalan utama Unifil itu di Naqoura.
“Serangan ini merupakan pencabulan serius terhadap kewajipan Israel di bawah Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1701 dan undang-undang antarabangsa kemanusiaan.
“...Semua anggota pasukan pengaman mesti dilindungi dan kami mengulangi penghargaan bagi komitmen berterusan askar dan kakitangan Unifil yang amat diperlukan dalam konteks yang sangat mencabar ini,” menurut kenyataan itu.
Ketiga-tiga negara itu turut menyeru bagi gencatan senjata segera.
Ketiga-tiga negara itu berkata mereka mengharapkan komitmen Israel terhadap keselamatan misi pengaman PBB di Lebanon dan pertubuhan antarabangsa yang aktif di rantau itu.
Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, turut mengutuk serangan tersebut.
Unifil menyifatkan serangan itu sebagai perkembangan serius dan berkata keselamatan kakitangan dan harta benda PBB mesti dijamin.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, turut menyeru Israel supaya tidak menyerang Unifil.
Russia pula melahirkan rasa marah dan menuntut Israel menahan daripada “tindakan bermusuhan” terhadap pasukan pengaman.
Tentera Israel berkata dua anggota pengaman itu cedera semasa mereka sedang menggempur Hezbollah dan melahirkan rasa prihatin yang mendalam.
Tambahnya, mereka telah diberi amaran untuk mencari perlindungan beberapa jam sebelum kejadian.
Menurut PBB, dua anggota pasukan pengaman itu berasal dari Sri Lanka.
Hezbollah berkata tentera Israel telah gagal dalam percubaannya untuk mara ke selatan Lebanon dan menghadapi tentangan ketara yang telah mengakibatkan kerugian besar kepada Israel.
Konflik antara Israel dengan militan Hezbollah tercetus setahun lalu apabila kumpulan yang disokong Iran itu mula melancarkan roket ke utara Israel bagi menyokong Hamas, pada permulaan perang Gaza.
Konflik itu menjadi lebih tegang dalam beberapa minggu ini, dengan Israel menyerang selatan Lebanon, kawasan selatan Beirut dan Bekaa Valley, hingga mengorbankan ramai pemimpin utama Hezbollah.
Israel juga mengerahkan askarnya merentas sempadan darat manakala Hezbollah telah melancarkan roket ke arah Israel. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg