BAITULMAKDIS/BEIRUT: Tentera Israel berkata ia telah menghapuskan anggota Hezbollah di Syria yang menyalurkan risikan mengenai Israel di Bukit Golan, yang diduduki Israel, manakala media Syria melaporkan serangan udara Israel mengenai sasaran di Syria.
Pada masa sama, Israel meningkatkan tindak balas terhadap Hamas, menggempur Hezbollah di Lebanon dan melancarkan serangan udara ke atas Iran, Yaman dan Syria dalam memburu kumpulan yang disokong Iran.
Sekurang-kurangnya 64 rakyat Palestin, kebanyakan di utara Gaza, terbunuh akibat serangan tentera Israel di lokasi ia melakukan operasi ketenteraan untuk hari keenam berturut-turut.
Di Tebing Barat, tentera Israel menembak dan membunuh sekurang-kurangnya empat rakyat Palestin dalam apa yang disebut oleh Gabenor Nablus sebagai “pembunuhan disengajakan”.
Di samping itu, tentera Israel terus menggempur Lebanon, mengakibatkan sekurang-kurangnya lima orang terbunuh di bandar selatan Wardaniyeh dan mengorbankan lima lagi pegawai perubatan di daerah Tyre.
Pertempuran darat antara tentera Israel dengan Hezbollah terus merebak di sepanjang sempadan pergunungan selatan Lebanon pada 9 Oktober.
Ia berlaku sedang Timur Tengah dalam keadaan berjaga-jaga terhadap kemungkinan Israel bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu Iran pada 1 Oktober.
Tindakan Israel itu meningkatkan kebimbangan meluasnya konflik Timur Tengah dan mengheret Iran dan Amerika Syarikat.
Presiden Amerika, Encik Joe Biden, dan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berbincang menerusi telefon pada 9 Oktober mengenai kemungkinan tindak balas Israel terhadap Iran.
Presiden Biden turut menggesa Encik Netanyahu mengurangkan bahaya ke atas orang awam di Lebanon, kata Rumah Putih.
Israel telah berikrar akan membalas dendam menyusuli serangan peluru berpandu Iran. Teheran memberi amaran sebarang serangan balas akan membawa kemusnahan besar.
Dalam pada itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata pada 9 Oktober ia telah menghapuskan Encik Adham Jahout, anggota ‘Rangkaian Pengganas Bukit Golan’ Hezbollah di Quneitra, Syria.
Menurut IDF, Encik Jahout memainkan peranan menyampaikan maklumat daripada sumber rejim Syria kepada Hezbollah dan menghantar risikan yang dikumpulkan di barisan depan Syria untuk memudahkan operasi menentang Israel di Bukit Golan.
Israel menawan Bukit Golan dalam perang Timur Tengah pada 1967 dan menduduki kawasan itu – langkah yang tidak diiktiraf oleh kebanyakan negara – hingga sekarang.
Stesen televisyen pemerintah Syria berkata pada awal 10 Oktober bahawa Israel melakukan serangan udara ke atas tapak perindustrian di bandar Homs dan markas tenteranya berhampiran bandar Hama, menyebabkan “sedikit kerosakan material”.
Serangan itu menyebabkan kebakaran di sebuah kilang membuat kereta di Homs, kata stesen tersebut.
Letupan turut kedengaran di bandar Daraa di Syria, lapor media pemerintah.
Beberapa penganalisis berkata Israel berkemungkinan besar bertindak balas terhadap serangan Iran dengan menyasarkan kemudahan tentera Iran, terutama yang menghasilkan peluru berpandu balistik seperti yang digunakan dalam serangan tersebut.
Israel juga boleh bertindak memusnahkan sistem pertahanan udara Iran dan kemudahan peluncur peluru berpandu.
Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, mengulangi ikrarnya akan menyerang Iran dengan berkata: “Serangan kami akan membawa maut, tepat dan mengejutkan.”
Meskipun konflik semakin memuncak, cadangan pada September oleh Amerika dan Perancis bagi melaksanakan gencatan senjata 21 hari antara Israel dengan Hezbollah “masih ada”, kata pegawai tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg