Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel, Hezbollah kian hampir di ambang perang

Perang berskala penuh boleh musnahkan Israel dan Lebanon; Hezbollah jauh lebih terlatih dan lengkap bersenjata berbanding Hamas
Jul 1, 2024 | 5:30 AM
Hezbollah
Kepulan asap kelihatan di bahagian sempadan Israel dengan Lebanon semasa serangan rentas sempadan antara Hezbollah dengan tentera Israel pada 18 Jun. - Foto REUTERS

Ketika tumpuan dunia terarah kepada perang di Gaza, satu lagi pertempuran kini berlaku di sempadan utara Israel dengan Lebanon – yang menyaksikan Israel dan Hezbollah saling berbalas serangan.

Yang jelas sejak beberapa minggu kebelakangan ini, serangan yang dilakukan antara kedua-dua pihak kelihatan semakin sengit dengan Israel berdepan kumpulan Hezbollah yang jauh lebih kuat.

Dalam mengukur bahaya perang besar-besaran meletus, Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, menghantar seorang pembantu kanannya, Encik Amos Hochstein, ke Israel pada 17 Jun dan ke Lebanon pada 18 Jun, untuk mendesak penyelesaian diplomatik.

Tidak seperti Hamas, pergerakan tentera Palestin yang memerangi Israel di Gaza, Hezbollah diketahui mempunyai angkatan tentera yang merupakan pejuang tegar dalam pertempuran, dan kumpulan itu memiliki peluru berpandu jarak jauh yang boleh menyerang sasaran jauh ke dalam Israel.

Walaupun terdapat usaha nyata oleh kedua-dua pihak untuk mengelak tindakan mereka daripada merebak menjadi perang besar-besaran di luar keadaan berkecamuk di Gaza, orang awam di Israel dan Lebanon telah terbunuh.

Lebih daripada 150,000 orang dipaksa meninggalkan kediaman mereka di sepanjang sempadan.

Apabila pertempuran dalam beberapa hari kebelakangan ini semakin sengit, terdapat kebimbangan adanya salah perhitungan yang boleh menjerumuskan kedua-dua pihak ke dalam konflik lebih mendalam.

Hezbollah berkata ia tidak akan merundingkan gencatan senjata sehingga Israel menamatkan kempen ketenteraannya di Gaza, yang mungkin berterusan selama beberapa minggu atau bulan.

Pegawai tentera Israel telah lama menjangkakan kumpulan bersenjata yang terlatih mungkin akan suatu hari nanti memasuki sempadan mereka, menuju ke bandar dan pangkalan tentera, sama seperti yang dilakukan oleh Hamas pada 7 Oktober.

Tetapi mereka cenderung melihat ke utara, takut kepada pejuang elit Hezbollah berbanding kumpulan bersenjata Palestin yang agak lemah.

Susulan serangan yang diketuai Hamas, tentera Israel menggempur pasukan dengan konvoi dan helikopter untuk menutup sempadan utaranya ekoran bimbang Hezbollah akan mengambil kesempatan untuk menyerang.

Keesokan harinya, Hezbollah mula melancarkan serangan ke atas utara Israel bagi menunjukkan perpaduan, menyebabkan Israel melakukan serangan balas di Lebanon.

Penganalisis berkata, Hezbollah kini jauh lebih kuat berbanding pada 2006, kali terakhir kumpulan itu berperang besar dengan Israel.

Perang itu, yang berlangsung kira-kira lima minggu, membunuh lebih 1,000 orang Lebanon dan lebih 160 orang Israel.

Ini menyebabkan lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal.

Namun, perang antara kedua-dua pihak hari ini, kata mereka, boleh memusnahkan kedua-dua Israel dan Lebanon.

Semasa perang 2006, Hezbollah melancarkan sekitar 4,000 roket, kebanyakannya ke arah utara Israel, dalam tempoh lima minggu, kata Brigedier Jeneral (BG) Israel yang kini bersara, Assaf Orion.

Menurutnya, kumpulan itu kini berkemungkinan boleh menembak dengan sama banyak, termasuk melibatkan peluru berpandu berat yang boleh menyebabkan kerosakan serius, di seluruh Israel, dalam masa sehari sahaja.

BG Shlomo Brom, mantan pakar strategi ketenteraan Israel, berkata sejumlah besar kelengkapan senjata Hezbollah – terutamanya dron – boleh mengatasi pertahanan udara Israel yang menggerunkan, sekiranya berlaku perang besar-besaran.

Tentera Hezbollah juga pejuang berpengalaman.

Ramai daripada mereka bertempur dalam perang saudara Syria di pihak rejim Presiden Bashar al-Assad, yang juga disokong Iran.

“Dalam perang tanpa sekatan, akan berlaku kemusnahan yang lebih besar di pihak awam dan lebih ke dalam wilayah Israel,” kata BG Brom.

“Mereka mempunyai keupayaan untuk menghalakan (serangan) di mana-mana sahaja di Israel dan akan menuju sasaran awam, sama seperti kami akan menyasarkan selatan Beirut,” tambahnya, merujuk kepada daerah ibu kota yang dikenali sebagai kubu kuat Hezbollah.

Bagi Hezbollah, kekacauan besar-besaran juga membimbangkannya.

Ekonomi Lebanon merosot walaupun sebelum krisis semasa, dan ramai rakyat Lebanon tidak mempunyai keinginan untuk mengulangi perang 2006.

Selain itu, penganalisis berkata Iran, penaung Hezbollah, mungkin tidak berminat dengan kekacauan besar, dan lebih berminat menggunakan proksinya pada masa yang lebih sesuai.

Pada 11 Jun, serangan Israel membunuh Komander Kanan Hezbollah, Encik Taleb Abdallah, sekali gus mendorong Hezbollah meningkatkan serangannya ke atas Israel, sebagai tindak balas.

Dalam beberapa hari berikutnya, Hezbollah melepaskan ratusan roket dan dron ke arah Israel dalam serangan yang lebih tersusun, mencederakan beberapa askar dan orang awam.

“Kedua-dua pihak sentiasa mencabar garis merah pihak lain. Buat masa ini nampaknya kedua-dua pihak tidak mahu perang sepenuhnya,” kata BG Orion.

“Tetapi anda boleh dengan mudah tersandung ke dalam, walaupun ia bukan sesuatu yang mereka mahu pada dasarnya,” tambah beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg