DUBAI (Amiriah Arab Bersatu): Pengarah pejabat media pemerintah Gaza yang dikendalikan pergerakan Hamas, Encik Ismail Al-Thawabta, dan seorang pegawai kementerian kesihatan Gaza memaklumkan kepada agensi berita Reuters pada 6 Jun bahawa sehingga 40 orang termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh manakala 73 cedera dalam serangan Israel ke atas sebuah sekolah di Nuseirat, di tengah Gaza.
Sebelumnya, Pengarah Komunikasi Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Cik Juliette Touma, memberitahu Reuters bahawa jumlah mangsa yang dilaporkan terbunuh dalam serangan terbaru Israel itu adalah antara 35 dan 45 orang, sambil menambah jumlah itu tidak dapat disahkan pada waktu itu.
Tentera Israel berkata, ia menilai terdapat 20 hingga 30 pejuang yang ditempatkan di sekolah itu, lapor Reuters.
Sementara itu, Encik Ismail Al-Thawabta menolak dakwaan Israel bahawa sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Nuseirat itu telah menempatkan markas Hamas.
“Pendudukan menggunakan pembohongan kepada pendapat umum melalui cerita rekaan palsu untuk dijadikan alasan bagi jenayah kejam dilakukan terhadap berpuluh-puluh pelarian,” kata Encik Al-Thawabta kepada Reuters.
Antara yang terkorban itu adalah dua kanak-kanak yang telah dibawa ke Hospital Al Aqsa Martyrs pada 5 Jun, antara hospital terakhir yang masih berfungsi di Gaza.
Mangsa serangan berkata kanak-kanak itu telah dibunuh bersama ibu mereka, yang terperangkap ketika orang lain di kawasan kejiranan itu dapat melarikan diri.
Bapa mangsa, Encik Abu Mohammed Abu Saif, berkata: “Ini bukan peperangan, ia adalah kemusnahan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.”
Israel menyasarkan sebuah sekolah Gaza pada 6 Jun yang dikatakan menempatkan markas Hamas, dan membunuh pejuang yang terlibat dalam serangan 7 Oktober yang mencetuskan perang lapan bulan itu.
Pihak Hospital Al-Aqsa Martyrs di Deir al Balah berkata, ia menerima “37 orang yang mati syahid” daripada serangan ke atas sekolah itu, mengemas kini angka awal 27 yang diberikan oleh pejabat media Hamas.
Israel menegaskan tidak akan menghentikan pertempuran semasa rundingan gencatan senjata diadakan.
Dalam tamparan jelas kepada cadangan gencatan senjata yang digembar-gemburkan minggu lalu oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, pemimpin pergerakan Hamas pada 5 Jun berkata bahawa kumpulan itu akan menuntut perang di Gaza dihentikan dan pengunduran Israel sebagai sebahagian daripada rancangan gencatan senjata.
Washington berkata, ia sedang menunggu untuk mendengar jawapan daripada Hamas kepada apa yang disifatkan oleh Encik Biden sebagai inisiatif Israel.
Sayap bersenjata Hamas dan Jihad Islam berkata mereka telah bertempur dengan tentera Israel pada 5 Jun dan melepaskan roket ‘antikereta kebal’ dan peluru. – Reuters, AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg