WASHINGTON: Apabila Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, secara terbuka menyiarkan cadangan gencatan senjata Gaza yang dikemukakan oleh Israel dan dihantar kepada Hamas, beliau tidak mendapatkan persetujuan daripada Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, kata tiga pegawai Amerika yang mengetahui mengenai perkara tersebut.
Keputusan mengumumkan secara sebelah pihak atau unilateral – satu langkah luar biasa yang perlu diambil oleh Amerika dengan sekutu rapat – adalah disengajakan dan menyempitkan ruang untuk Israel atau Hamas berundur daripada perjanjian itu, kata pegawai.
“Kami tidak meminta kebenaran untuk mengumumkan cadangan itu.
“Kami memaklumkan kepada pihak Israel bahawa kami akan memberikan ucapan mengenai situasi di Gaza.
“Kami tidak menjelaskan secara terperinci tentang perkara itu,” kata seorang pegawai kanan Amerika yang tidak mahu namanya disiarkan.
Selama berbulan-bulan, perunding dari Amerika, Mesir dan Qatar telah cuba menjadi pengantara bagi menamatkan konflik yang telah mengorbankan puluhan ribu orang, tetapi perjanjian terbukti sukar difahami.
Cadangan yang diumumkan menggesa gencatan senjata awal selama enam minggu dengan pengunduran tentera Israel dari kawasan berpenduduk di Gaza dan pembebasan beberapa tebusan sedang “pengakhiran kekal kepada permusuhan” dirundingkan melalui pengantara.
Ia bertujuan mencapai perjanjian yang diterima Hamas pada awal 2024 dengan mengekalkan gencatan senjata semasa rundingan diteruskan.
Ini diharapkan akan mencapai pemberhentian permusuhan kekal – tuntutan Hamas yang telah lama wujud.
Pengumuman Encik Biden dan cara beliau merangka cadangan itu sebagai perjanjian “yang ditawarkan Israel”, bertujuan meningkatkan harapan gencatan senjata dan memberi tekanan kepada Encik Netanyahu, kata Encik Jeremi Suri, profesor sejarah dan hal ehwal awam di Universiti Texas di Austin.
“Biden cuba memperkotak-katikkan Netanyahu supaya menerima cadangan itu,” tambahnya.
Ditanya sama ada pengumuman Encik Biden itu adalah percubaan untuk memberi tekanan kepada Encik Netanyahu, seorang pegawai Israel berkata bahawa tiada siapa boleh menghalang Israel daripada memusnahkan Hamas dan keupayaan pemerintahannya.
“Tanggapan bahawa tekanan akan menyebabkan Israel bertindak bertentangan dengan kepentingan nasionalnya adalah bodoh,” kata pegawai itu, yang enggan namanya disiarkan.
“Tekanan harus diberikan kepada Hamas,” tegasnya.
Bercakap kepada pemberita pada 3 Jun, jurucakap Majlis Keselamatan Negara Amerika, Encik John Kirby, menafikan bahawa pihak pentadbiran cuba “menyekat” pemimpin Israel.
Tidak jelas cadangan gencatan senjata terbaru akan berjaya.
Pada petang 4 Jun, Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih, Encik Jake Sullivan, memberitahu pemberita bahawa pengantara masih menunggu jawapan Hamas.
Walaupun Encik Ophir Falk, penasihat dasar luar Encik Netanyahu, berkata sejurus selepas pengumuman 31 Mei bahawa Encik Netanyahu telah menyetujui cadangan itu, pemimpin Israel itu kemudiannya membuat komen umum yang menimbulkan keraguan bahawa beliau menyokong penuh cadangan tersebut.
Pada 5 Jun, menteri sayap kanan Israel, Encik Itamar Ben-Gvir, berkata pihaknya akan “mengganggu” pakatan pemerintah sehingga Encik Netanyahu mendedahkan butiran mengenai perjanjian Gaza yang bakal dicapai.
Bagi pihaknya, Encik Biden menghadapi tekanan untuk menamatkan pertempuran di Gaza.
Parti Demokratnya telah berbelah bahagi mengenai sokongannya terhadap serangan Israel ke atas Gaza, dengan pengundi mengancam untuk tidak menyokongnya pada pertandingan semula pada November dengan calon Republikan, Encik Donald Trump.
Perang bermula pada 7 Oktober apabila Hamas menyerang selatan Israel, membunuh lebih 1,400 orang di Israel, kebanyakannya orang awam, dan menahan lebih 240 tebusan.
Serangan balas dan berterusan Israel telah menyebabkan Gaza musnah dan membunuh lebih 36,000 orang, kata pihak berkuasa kesihatan Palestin.
Walaupun terdapat halangan, pegawai Amerika menyatakan bahawa dengan menyiarkan cadangan Israel secara terbuka, Encik Biden boleh memulakan perbincangan baru.
“(Biden) berpendapat adalah penting untuk membentangkan butiran secara terbuka supaya seluruh dunia dapat melihat apa yang ada di sini.
“Mereka juga dapat melihat betapa seriusnya Israel mengambil tindakan ini dan untuk menjelaskan bahawa Hamas benar-benar perlu menerima cadangan ini,” kata salah seorang pegawai.
Dengan berbuat demikian, Encik Biden menggunakan taktik yang telah digunakannya sebelum ini dalam beberapa dekadnya sebagai ahli politik – membuat pengumuman awam tentang perjanjian dengan harapan dapat memajukan parti-parti itu, kata ahli sejarah, Encik Thomas Alan Schwartz, daripada Universiti Vanderbilt.
“Dengan menyatakan Israel telah bersetuju, beliau meletakkan Israel dalam kedudukan yang sukar untuk menyatakan tidak.
“Dalam erti kata lain, beliau mungkin cuba mempengaruhi dasar domestik di Israel,” kata Encik Schwartz. – Agensi berita.
“
“Dengan menyatakan Israel telah bersetuju, beliau (Encik Biden) meletakkan Israel dalam kedudukan yang sukar untuk menyatakan tidak. Dalam erti kata lain, beliau mungkin cuba mempengaruhi dasar domestik di Israel.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg