Pemain golf negara, Hiroshi Tai, mempunyai kerjaya amatur yang manis, apabila beliau berjaya melayakkan diri bertanding di peringkat terbesar iaitu dalam Terbuka Amerika Syarikat dan Masters sejak satu setengah tahun yang lalu.
Kini, pemain berusia 23 tahun itu ingin mengorak langkah ke tahap seterusnya dengan menjadi profesional pada 2026, selepas menamatkan pengajian di Institut Teknologi Georgia, di Amerika.
Beliau berharap dapat memanfaatkan tahun akhir pengajiannya sebagai seorang amatur.
Salah satu kejohanan yang dinanti-nantikan Tai ialah Kejohanan Berpasukan Amatur Dunia (WATC), yang bakal menyaksikan beliau mewakili Singapura di samping Brayden Lee dan Troy Storm, lapor The Straits Times.
Acara itu akan berlangsung di padang golf Tampines, Tanah Merah Country Club, dari 8 hingga 11 Oktober, dengan ketiga-tiga mereka bertanding untuk merebut Piala Eisenhower.
Tai, yang pernah menyertai WATC edisi 2022 dan 2023, berkata kejohanan itu penting kerana sebaik sahaja beliau menjadi profesional, peluang bermain acara berpasukan mungkin tidak akan datang dengan kerap.
“Beberapa tahun akan datang, apabila saya menjadi profesional dan selepas itu, saya akan belajar menikmati segala-galanya.
“Ini kerana, jika ketika saya berumur 15 tahun, saya memberitahu diri saya sendiri bahawa saya akan bermain di WATC, saya mungkin tidak akan percaya.
“Jadi menikmati pengalaman ini dan berharap semua orang turut mempunyai minggu yang menyeronokkan, itu mungkin perkara terbesar yang saya harap dapat lakukan dalam beberapa tahun akan datang,” jelas beliau.
Tai, yang merupakan warga Singapura pertama beraksi dalam Terbuka Amerika (pada 2024) dan Masters (2025) selepas memenangi gelaran individu Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di California pada 2024, bertekad untuk memanfaatkan pengalamannya ketika bermain dalam acara-acara tersebut.
Meskipun beliau hanya mampu berkongsi kedudukan ke-109 dalam Terbuka Amerika dan terikat di tempat ke-73 dalam Masters, bertanding bersama pemain terbaik dunia telah membantu membentuk rutin dan latihannya.
Satu detik yang menyerlah ialah ketika beliau bertanding di pusingan latihan dengan pemain nombor tiga dunia asal Amerika, Russell Henley, di Augusta.
“Beliau dalam kalangan pemain golf lima teratas dunia sekarang. Melihat bagaimana beliau beraksi di padang golf dan betapa bagus pukulannya, saya terdorong untuk belajar cara beliau melakukannya,” kata Tai.
WATC adalah salah satu acara utama terakhir untuk Tai sebelum menjadi profesional.
Beliau cuba mendapatkan status bermain dalam Jelajah Dunia DP dan Jelajah Korn Ferry – jelajah pembangunan Jelajah PGA – dan dijangka terlepas Sukan SEA pada Disember kerana pertembungan jadual.
Rakan sepasukannya, Troy, yang bertanding di WATC 2023, menantikan aksi keduanya dalam kejohanan itu.
“Untuk WATC pertama saya, saya agak gementar, bertanding dalam kejohanan terbesar yang pernah saya sertai.
“Minggu ini, saya akan berbekal lebih pengalaman dan pastinya lebih selesa bersaing,” kata Troy, yang berusia 16 tahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg