Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Honda, Nissan mungkin gabung

Perbincangan tertumpu kepada usaha perkukuh kerjasama; mungkin beroperasi di bawah syarikat induk
Dec 18, 2024 | 5:37 PM
Penggabungan Honda dan Nissan akan mewujudkan satu syarikat bernilai AS$54 bilion ($73 bilion) yang mengeluarkan sebanyak 7.4 juta kenderaan setahun, menjadikannya syarikat kenderaan ketiga terbesar di dunia.
Penggabungan Honda dan Nissan akan mewujudkan satu syarikat bernilai AS$54 bilion ($73 bilion) yang mengeluarkan sebanyak 7.4 juta kenderaan setahun, menjadikannya syarikat kenderaan ketiga terbesar di dunia. - Foto REUTERS

Syarikat pengeluar kereta Jepun, Honda dan Nissan sedang dalam perbincangan untuk memperdalam kerjasama, termasuk kemungkinan menggabungkan kededua syarikat itu.

Ia adalah petanda paling jelas setakat ini bagaimana industri kenderaan Jepun yang dahulunya kelihatan sukar ditandingi, dibentuk semula disebabkan cabaran sengit daripada pesaingnya seperti kenderaan Tesla dari Amerika Syarikat serta kenderaan China, menurut dua sumber pada 18 Disember.  

Penggabungan Honda dan Nissan akan mewujudkan satu syarikat bernilai AS$54 bilion ($73 bilion) yang mengeluarkan sebanyak 7.4 juta kenderaan setahun, menjadikannya syarikat kenderaan ketiga terbesar di dunia berdasarkan jumlah kenderaan yang dijual, selepas Toyota dan Volkswagen.

Kededua syarikat itu sudah pun menjalinkan satu perkongsian strategik pada Mac untuk bekerjasama dalam pembangunan kenderaan elektrik (EV).

Namun, masalah kewangan dan strategi yang semakin meruncing yang dihadapi Nissan sejak beberapa bulan lalu, telah menambahkan keperluan untuk bekerjasama lebih erat dengan pesaing lebih besar, Honda.

Nissan mengumumkan rancangan penjimatan kos bernilai AS$2.6 bilion pada November, termasuk langkah memberhentikan seramai 9,000 pekerja dan mengurangkan 20 peratus kapasiti pengeluarannya di seluruh dunia, selepas jualannya merosot di China dan Amerika, menyebabkan keuntungan suku keduanya menjunam 85 peratus.

“Perjanjian ini kelihatan lebih kepada menyelamatkan Nissan, tetapi (pihak pengurusan) Honda tidak akan berdiam diri,” kata zamil eksekutif di Institut Penyelidikan Itochu, Encik Sanshiro Fukao. 

“Aliran tunai Honda dijangka merosot tahun depan (2025) dan prestasi penjualan kenderaan elektriknya tidak begitu memberangsangkan,” jelas beliau.

Kededua syarikat pengeluar kereta itu sedang bergelut dengan cabaran sengit daripada pengeluar EV , terutamanya dari China, di mana BYD dan kenderaan berjenama lain kini mendahului pasaran.

Rundingan antara Honda dengan Nissan, yang pertama kali dilaporkan akhbar Nikkei, akan membolehkan kededua syarikat itu menjalin kerjasama lebih rapat dalam teknologi, di samping membantu dalam membina pesaing tempatan yang lebih hebat untuk menandingi Toyota.

Perbincangan tersebut tertumpu kepada mencari jalan untuk memperkukuh kerjasama, termasuk kemungkinan beroperasi di bawah sebuah syarikat induk yang bakal ditubuhkan, menurut sumber tersebut yang enggan dinamakan.

Kededua syarikat itu juga sedang membincangkan kemungkinan penggabungan sepenuhnya, serta meneroka cara bekerjasama dengan Mitsubishi Motors, di mana Nissan adalah pemegang saham terbesar dengan 24 peratus kepentingan.

Sepanjang setahun yang lalu, perang harga EV oleh Tesla dan BYD telah meningkatkan tekanan terhadap syarikat pengeluar kereta yang mengalami kerugian dalam membangunkan kenderaan generasi seterusnya.

Ia memberi tekanan kepada syarikat seperti Honda dan Nissan untuk mencari cara mengurangkan kos niaga dan mempercepatkan pembangunan kenderaan, dengan penggabungan tersebut menjadi langkah utama ke arah itu.

“Dalam jangka masa pertengahan dan panjang, ini baik untuk industri kereta Jepun kerana ia mewujudkan satu lagi saingan kepada Toyota,” kata penganalisis kanan Tokai Tokyo Intelligence Laboratory, Encik Seiji Sugiura.

“Persaingan membina dengan Toyota adalah sesuatu yang positif bagi industri kereta Jepun yang kini mengalami perkembangan agak mendatar, ketika ia perlu bersaing dengan pengeluar kereta China, Tesla dan lain-lain,” ujarnya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg