HONG KONG: Pihak berkuasa Hongkong telah membekukan aset bernilai HK$2.75 bilion (S$463 juta) yang dikaitkan dengan sindiket penipuan yang dikenal pasti sebagai Prince Group kelolaan hartawan China-Kemboja Chen Zhi.
Britain dan Amerika Syarikat telah menyekat pada Oktober rangkaian berbilang negara yang berpangkalan di Asia Tenggara itu, yang dituduh mengendalikan “pusat penipuan” dalam talian berskala besar.
Sindeket tersebut menggunakan pekerja yang diperdagangkan untuk menipu mangsa di seluruh dunia.
Chen, 38 tahun, telah didakwa di mahkamah Amerika atas tuduhan konspirasi penipuan dalam talian dan konspirasi pengubahan wang haram.
Reuters tidak dapat menghubungi Chen atau wakil untuk mendapatkan komen.
Polis Hongkong berkata pada 4 Oktober bahawa pembekuan aset tersebut melibatkan sindiket yang disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan telekomunikasi rentas sempadan antarabangsa dan pengubahan wang haram.
Menurut polis Hongkong tindakan itu diambil berdasarkan risikan dan maklumat yang dikumpulkan daripada pelbagai sumber.
“Aset-aset yang dibekukan, termasuk wang tunai, saham dan dana yang dipegang oleh individu dan entiti korporat, dipercayai adalah hasil jenayah yang dikaitkan dengan sindiket berkenaan,” kata polis dalam satu kenyataan lewat 4 November tanpa menyebutkan nama individu terlibat.
Biro Perisikan dan Siasatan Kewangan Hongkong sedang meneruskan siasatan, tetapi tiada sebarang tangkapan telah dibuat, tambah kenyataan itu.
Sekurang-kurangnya 18 syarikat Hongkong telah disenaraihitamkan oleh Amerika berkaitan dengan Prince Group. Ini termasuk dua syarikat tersenarai – Khoon Group dan Geotech Holdings.
Terdahulu pada 4 November, pendakwa raya Taiwan berkata mereka telah menahan 25 orang dan merampas aset NT$4.5 bilion (S$190 juta) yang dikaitkan dengan Prince Group.
Ini termasuk 26 kereta mewah, hartanah dan akaun bank yang dikaitkan dengan rangkaian dan Chen – berkaitan dengan pengubahan wang haram dan kesalahan buruh paksa.
Pihak berkuasa Singapura juga baru-baru ini merampas lebih daripada $150 juta aset yang dikaitkan dengan Prince Group, termasuk enam hartanah, akaun bank, akaun sekuriti dan wang tunai, lapor media tempatan.
Pada 29 Oktober, Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan mereka telah mengeluarkan waran tangkap terhadap 27 warga Singapura dan tujuh warga Malaysia yang disyaki terlibat dalam satu sindiket penipuan yang beroperasi di Kemboja.
Jabatan Perbendaharaan Amerika berkata ini merupakan tindakan terbesarnya di Asia Tenggara, menyasarkan 146 orang dalam Prince Group.
Britain pula mengenakan sekatan yang menyasarkan enam entiti dan enam individu, termasuk Chen. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg