Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia buru 7 suspek selepas S’pura bongkar sindiket penipuan Kemboja

Nov 1, 2025 | 2:22 PM
Polis M’sia, suspek sindiket penipuan Kemboja
Polis sedang memburu warga Malaysia yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan yang beroperasi di Kemboja. - Foto SPF

KUALA LUMPUR: Polis Malaysia melancarkan operasi seluruh negara bagi memburu tujuh rakyatnya, sekali gus meletakkan mereka di dalam senarai orang dikehendaki negara.

Ini merupakan sebahagian daripada usaha serantau lebih luas untuk membongkar rangkaian jenayah siber rentas sempadan yang dikenal pasti oleh pihak berkuasa Singapura.

Pengumuman menyeluruh telah dikeluarkan bagi memaklumkan pegawai penguat kuasa di serata negara untuk menjejak dan menahan individu terbabit, yang kini diburu di Malaysia dan Singapura.

“Polis telah memulakan usaha menjejak dan menahan semua suspek warga Malaysia. Ketujuh-tujuh mereka telah dimasukkan dalam senarai orang dikehendaki untuk ditahan dan disiasat lebih lanjut,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar, dalam kenyataan lewat malam 31 Oktober.

Langkah itu diambil susulan tindakan polis Singapura mengeluarkan waran tangkap terhadap tujuh warga Malaysia dan 27 warga Singapura yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan.

Ratusan mangsa dipercayai telah diperdaya melalui penipuan penyamaran oleh sindiket itu, dengan jumlah kerugian melebihi $41 juta.

Penipuan yang dipercayai diselaraskan dari Phnom Penh itu merupakan antara siasatan penipuan rentas negara terbesar Singapura, sekali gus menyerlahkan penyebaran meluas rangkaian jenayah rentas sempadan di Asia Tenggara.

Singapura sebelum ini telah mengambil tindakan terhadap rangkaian berkenaan.

Dalam fasa pertama tindakan penguatkuasaan pada September, pihak berkuasa mengenakan tuduhan terhadap 12 suspek, termasuk rakyat Malaysia.

Dalam usaha pihak berkuasa Malaysia mengesan tujuh suspek berkenaan, dua individu menarik perhatian, iaitu Tang Soon Fai, 25 tahun, dan Tang Soon Wah, 31 tahun.

Kedua-dua individu yang berkongsi nama keluarga sama itu juga dipercayai menggunakan alamat berdaftar sama di Selangor, lapor The Straits Times (ST).

Perkara ini menunjukkan kemungkinan wujud kaitan keluarga lain dalam rangkaian penipuan yang didakwa diketuai oleh dua pasangan adik beradik warga Singapura, Ng Wei Liang dan Ng Wei Kang.

Pada 31 Oktober, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Rusdi Mohd Isa, memberitahu ST bahawa usaha sedang dijalankan untuk mengumpul maklumat mengenai tujuh rakyat Malaysia yang dinamakan Singapura itu.

“Pengumpulan data sedang dijalankan untuk mengenal pasti sama ada mereka berada di sini atau di tempat lain. Kami juga akan menghubungi Kementerian Ehwal Luar sekiranya terdapat kemungkinan mereka berada di Kemboja,” katanya.

Polis juga sedang memburu Kang Liang Yee, Hoe Ming Wei, Pang Han Ee, Bernard Goh Yie Shen, dan Yip Chee Hoe.

Di Singapura, sindiket yang didakwa dikendalikan oleh dua beradik Ng dengan bantuan ahli keluarga mereka telah memperdaya mangsa dengan menyamar sebagai pegawai bank atau pihak berkuasa.

Mangsa diberitahu akaun mereka telah terjejas, dan pemindahan wang segera diperlukan bagi tujuan pemeriksaan keselamatan.

Lebih 400 kes telah dikaitkan dengan sindiket berkenaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg