Waran tangkap telah dikeluarkan bagi 27 warga Singapura dan tujuh warga Malaysia yang disyaki terlibat dalam satu sindiket penipuan yang beroperasi di Kemboja.
Kesemua 34 suspek kini berada di luar negara, menurut kenyataan Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 29 Oktober.
Ia menambah bahawa SPF kini bekerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa untuk mengesan serta menahan mereka.
Suspek-suspek tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan 15 individu yang telah didakwa pada September lalu kerana terlibat dalam sindiket sama.
Sebelum ini, pihak polis Singapura dan Kemboja telah menjalankan operasi penguatkuasaan bersama terhadap satu kumpulan jenayah terancang yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan di mana mereka menyamar sebagai pegawai pemerintah bagi memperdaya mangsa di Singapura.
Kumpulan tersebut dipercayai beroperasi dari sebuah pusat di Phnom penh dan didakwa terlibat dalam 438 kes yang melibatkan kerugian sekurang-kurangnya $41 juta.
Susulan operasi awal di Kemboja, seramai 15 suspek telah diberkas terdiri daripada 12 warga Singapura, dua warga Malaysia dan seorang warga Filipina.
Mereka ditahan di Singapura dan didakwa pada 11 dan 12 September kerana menjadi anggota kumpulan jenayah terancang yang mempunyai kaitan dengan sindiket tempatan.
Hasil siasatan lanjut dan bukti yang diperoleh di Kemboja, polis berjaya mengenal pasti lagi 27 rakyat Singapura dan tujuh warga Malaysia sebagai anggota kumpulan jenayah terancang itu.
Mereka juga dipercayai telah beroperasi dari sebuah pusat di Phnom Penh.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg