Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hospital di Gaza lumpuh akibat serangan peluru berpandu Israel

Apr 14, 2025 | 1:02 PM
gaza
Pegawai kesihatan di Hospital Arab Al-Ahli telah segera memindahkan pesakit selepas panggilan telefon daripada seseorang yang mengenalkan dirinya sebagai pegawai keselamatan Israel, sejurus sebelum serangan peluru berpandu itu dilancarkan. - Foto REUTERS

JALURAN GAZA: Dua peluru berpandu Israel melanda hospital utama Gaza pada 13 April, melumpuhkan jabatan kecemasan dan merosakkan struktur lain, kata pegawai perubatan, dalam serangan yang menurut Israel ditujukan terhadap anggota Hamas yang mengeksploitasi kemudahan itu.

Pegawai kesihatan di Hospital Arab Al-Ahli telah segera memindahkan pesakit selepas panggilan telefon daripada seseorang yang mengenalkan dirinya sebagai pegawai keselamatan Israel sejurus sebelum serangan itu.

Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Tentera Israel berkata dalam satu kenyataan bahawa ia telah mengambil langkah untuk mengurangkan bahaya kepada orang awam sebelum ia menyerang perkarangan itu, yang dikatakan digunakan oleh anggota Hamas untuk merancang serangan.

Hamas menafikan tuduhan itu dan menggesa siasatan antarabangsa segera dijalankan.

Akibat serangan itu, hospital berkenaan – sebuah institusi yang dikendalikan oleh Gereja Anglikan di Baitulmakdis – terpaksa menghentikan operasinya, menurut kementerian kesihatan Gaza.

“Beratus-ratus pesakit dan orang yang cedera terpaksa dipindahkan pada tengah malam, dan ramai daripada mereka kini berada di jalanan tanpa rawatan perubatan, yang membahayakan nyawa mereka,” kata jurucakap kementerian itu, Encik Khalil Al-Deqran.

Serangan itu berlaku ketika pemimpin Hamas memulakan pusingan baru rundingan di Kahirah dalam usaha menyelamatkan perjanjian gencatan senjata dengan Israel yang terhenti Mac lalu, ketika Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat cuba merapatkan jurang antara kedua-dua pihak.

Rakaman Reuters menunjukkan kemusnahan yang ketara di dalam dan di luar pekarangan hospital dan sekumpulan pesakit dilihat tidak dapat keluar.

“Serangan yang berlaku amat menakutkan. Dari malam tadi hingga sekarang, saya tidak tidur seminit pun kerana ketakutan. Sepanjang malam, kaca pecah menimpa kami di dalam rumah kami,” kata seorang lelaki yang cedera, Encik Mohammed Abu Nasser.

Gereja Episcopal di Baitulmaqdis berkata amaran mengosongkan hospital itu dibuat selang 20 minit sebelum serangan yang turut memusnahkan makmal genetik dua tingkat itu dan merosakkan bangunan farmasi dan jabatan kecemasan serta struktur lain di sekelilingnya.

“Kami menyeru pihak antarabangsa supaya campur tangan bagi menghentikan semua jenis serangan ke atas institusi perubatan dan kemanusiaan,” kata gereja itu dalam satu kenyataan.

Kementerian Luar Palestin dan Hamas menyatakan Israel sengaja memusnahkan sistem penjagaan kesihatan di Jaluran Gaza.

Tentera Israel telah melakukan banyak serbuan ke atas kemudahan perubatan di wilayah Palestin itu sejak perang meletus pada 7 Oktober 2023. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg