Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketua PBB: Gaza kini berubah jadi ‘medan pembunuhan’

Apr 9, 2025 | 1:53 PM
Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Encik Antonio Guterres, menekankan peri perlunya Israel menyalurkan bantuan makanan dan perubatan kepada penduduk Gaza.
Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Encik Antonio Guterres, menekankan peri perlunya Israel menyalurkan bantuan makanan dan perubatan kepada penduduk Gaza. - Foto AFP

NEW YORK: Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, berkata pada 8 April bahawa Gaza kini menjadi “medan pembunuhan” kerana Israel terus menyekat bantuan kepada penduduk Palestin.

Namun, tuduhan tersebut segera disangkal seorang pegawai yang menyatakan “tiada kekurangan” bantuan di Gaza.

“Lebih dari sebulan telah berlalu tanpa setitik bantuan dikirimkan ke Gaza. Tiada makanan, bahan api dan ubat-ubatan. Tiada juga bekalan komersial.

“Bantuan telah pupus dan ini bermakna pintu penderitaan telah dibuka semula,” kata Encik Guterres kepada wartawan.

Menunjuk kepada Konvensyen Geneva melibatkan layanan terhadap penduduk dalam peperangan, Encik Guterres, menekankan kewajipan “kuasa pendudukan” untuk memastikan penyediaan makanan dan bekalan perubatan kepada mereka.

“Tiada satu pun perkara itu berlaku hari ini. Tiada bekalan kemanusiaan boleh memasuki Gaza,” tegas beliau.

Jurucakap Kementerian Luar Israel, Encik Oren Marmorstein, menolak dakwaan itu, dengan menyatakan “tiada kekurangan bantuan kemanusiaan di Jaluran Gaza”.

Encik Marmorstein seterusnya mendakwa Hamas menggunakan bantuan yang disalurkan ke Gaza baru-baru ini untuk “membina semula jentera perangnya”.

Encik Guterres turut merujuk cadangan Israel berhubung mengawal bantuan ke Gaza dengan memantau kalori untuk mengelakkan penyalahgunaan oleh Hamas.

“Pihak berkuasa Israel baru-baru ini mencadangkan ‘mekanisme mendapatkan kebenaran’ untuk mengatasi risiko penyaluran bantuan dan mengehadkan bantuan hingga ke kalori dan bijirin terakhir tepung,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PBB di New York.

“Biar saya jelaskan – kami tidak akan menyertai sebarang pengaturan yang tidak menghormati sepenuhnya prinsip kemanusiaan – kesaksamaan, kemerdekaan dan berkecuali,” kata Encik Guterres, menuntut jaminan untuk kemasukan tanpa halangan bantuan ke wilayah Palestin itu.

Encik Guterres turut membangkitkan tentang keadaan di Tebing Barat yang kian buruk.

“Laluan semasa adalah jalan buntu – sama sekali tidak boleh diterima di mata undang-undang dan sejarah antarabangsa.

“Dan risiko Tebing Barat yang diduduki berubah menjadi satu lagi Gaza menjadikannya lebih teruk.

“Sudah tiba masanya untuk menamatkan tindakan tidak berperikemanusiaan, melindungi orang awam, membebaskan tebusan, memastikan bantuan menyelamatkan nyawa dan memperbaharui gencatan senjata,” ujar beliau.

Sebelum ini, Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak PBB (Unicef) telah menutup 21 pusat rawatan berhubung pemakanan tidak seimbang di Jaluran Gaza berikutan operasi ketenteraan berterusan oleh Israel serta arahan pemindahan terbaru di kawasan yang terjejas. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg