Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel luaskan zon penampan di Gaza

Apr 10, 2025 | 4:50 PM
Gambar yang dibekalkan Angkatan Pertahanan Israel (IDF) pada 2 April menunjukkan tenteranya menjalankan operasi di kawasan Tel Al-Sultan, di Rafah. Mereka tidak menghadapi sebarang tentangan daripada Hamas sejak menyerang semula Gaza.
Gambar yang dibekalkan Angkatan Pertahanan Israel (IDF) pada 2 April menunjukkan tenteranya menjalankan operasi di kawasan Tel Al-Sultan, di Rafah. Mereka tidak menghadapi sebarang tentangan daripada Hamas sejak menyerang semula Gaza. - Foto REUTERS

RAFAH (Palestin): Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dilaporkan telah mara ke selatan Gaza dan berjaya menawan kawasan yang dikenali sebagai Koridor Morag, iaitu laluan strategik yang terletak di antara bandar Palestin, Rafah dengan Khan Younis.

Langkah itu sekali gus membolehkan IDF memperluas zon penampan keselamatan mereka di sepanjang sempadan Gaza.

IDF telah melakukan lebih 1,000 serangan udara ke atas sasaran Hamas, menghapuskan lebih 40 pegawai kanan dan komander peringkat pertengahan, dan menemui beberapa terowong baru.

Serangan udara yang dilancarkan ke atas sebuah blok kediaman pada 9 April meragut sekurang-kurangnya 23 nyawa.

Menurut jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Encik Mahmud Bassal, serangan itu berlaku di kejiranan Shujaiya, lapor agensi berita, AFP.

Dalam masa yang sama, sekatan bantuan memburukkan lagi ancaman kebuluran terhadap 2.4 juta penduduk Gaza.

Serangan semasa itu bertujuan “meningkatkan tekanan ke atas Hamas demi membebaskan tebusan” dan menyediakan landasan bagi rancangan Israel untuk “memusnahkan Hamas”.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, kepada pemberita pada 9 April, ketika melawat Koridor Morag, kawasan strategik di selatan Gaza yang kini dikuasai IDF.

Encik Katz berkata serangan Israel telah membawa kepada “pencapaian hebat” semasa pertempuran disambung semula, termasuk memindahkan penduduk awam di Rafah dan mengepung bandar itu.

Namun “pencapaian” itu nampaknya tidak menjejas Hamas buat masa ini.

Perang meletus pada 7 Oktober 2023 apabila Hamas menyerang selatan Israel, membunuh lebih 1,200 orang dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan.

Serangan Israel sehingga kini telah membunuh lebih 61,7000 rakyat Palestin.

Rundingan dengan Hamas membebaskan baki 59 tebusan Israel yang masih dalam tahanan nampaknya terhenti.

Hamas dilaporkan telah merekrut lebih ramai anggota pasukan dan cuba mengisi semula simpanan senjatanya.

IDF menganggarkan kumpulan itu mempunyai sekitar 20,000 anggota aktif, separuh daripada bilangan pasukannya sebelum perang.

Pegawai Israel berkata negaranya sedia berunding untuk menamatkan perang di Gaza tetapi akan berkeras untuk mencapai matlamatnya – pemulangan semua tebusan, pelucutan senjata Hamas dan pengusiran pemimpin Hamas, dan menghapuskan pemerintahan baru yang tidak termasuk Hamas.

“Jika Hamas meneruskan keengganannya dan tidak membebaskan tebusan tidak lama lagi, IDF akan bergerak ke pertempuran intensif di seluruh Gaza dengan mengerahkan lebih ramai pasukan simpanan sehingga tebusan dibebaskan dan Hamas dikalahkan,” kata Encik Katz.

Beberapa pegawai tentera percaya Hamas tidak akan menyerah, tidak kira betapa kuatnya IDF menggempurnya.

Encik Katz berkata beliau percaya mencapai perjanjian membebaskan tebusan yang baru dengan Hamas adalah “kemungkinan besar berbanding sebelum ini” kerana serangan terkini IDF telah memberi kumpulan itu tekanan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg