BAITULMAKDIS: Asap dilihat berkepul-kepul dari bangunan sebuah hospital di selatan Israel ekoran serangan peluru berpandu Iran pada pagi 19 Jun.
Serangan Iran itu juga menyasarkan dua bandar berhampiran Tel Aviv dengan pegawai penyelamat melaporkan sekurang-kurangnya 47 orang cedera.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, memberi amaran bahawa Iran akan menerima padah selepas serangan ke atas Hospital Soroka di Beersheba di selatan Israel itu.
Menteri Pertahanan Encik Israel Katz pula berkata: “Perdana Menteri dan saya telah mengarahkan (tentera) untuk memperhebat serangan terhadap sasaran strategik di Iran dan infrastruktur kuasa di Tehran, untuk menghapuskan ancaman kepada Negara Israel dan untuk menggoncang rejim Ayatollah.”
Jurucakap hospital itu melaporkan “kerosakan meluas berlaku di pelbagai kawasan hospital. Kami sedang menilai kerosakan dan kecederaan yang ditimpakan”.
Beliau tidak memberi butiran kerosakan itu.
Hospital tersebut menyediakan perkhidmatan bagi penduduk di selatan Israel dan merawat tentera yang cedera di Gaza.
Serangan Iran juga merosakkan bangunan-bangunan di bandar Ramat Gan dan Holon, berhampiran hab pantai Tel Aviv, yang telah berulang kali menjadi sasaran peluru berpandu Iran sejak perang meletus pada 13 Jun dan masih membara itu. – AFP, Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg