WASHINGTON/TEHERAN/TEL AVIV: Iran dan Israel sekali lagi bertukar serangan udara pada 19 Jun.
Serangan udara dan peluru berpandu oleh Israel telah mengorbankan ratusan nyawa, merosakkan prasarana nuklear Iran dan membunuh barisan atasan komando tentera negara itu sejak seminggu lalu.
Sebagai tindak balas, Iran telah melancarkan serangan yang membunuh dua dozen orang awam di Israel.
Konflik paling buruk antara kedua-dua musuh serantau itu telah mencetuskan kebimbangan mengenai penglibatan kuasa besar dunia dan kestabilan serantau yang sedia tergugat akibat kesan berlarutan perang di Gaza.
Ketika ditanya oleh wartawan di luar Rumah Putih, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, enggan mengesahkan sama ada beliau akan menyertai kempen ketenteraan Israel.
“Saya mungkin akan lakukannya. Mungkin juga tidak. Maksud saya, tiada siapa tahu apakah yang akan saya buat,” katanya.
Beliau kemudian menyatakan bahawa pegawai Iran ingin mengadakan pertemuan di Washington dan berkata “mungkin kami akan lakukannya”.
Namun beliau turut menambah: “Keadaan ini sudah agak lewat untuk dibincangkan.”
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam ucapan yang dirakam dan disiarkan di televisyen – penampilan pertamanya sejak 13 Jun menolak gesaan Encik Trump agar Iran menyerah diri.
“Amerika perlu tahu bahawa sebarang campur tangan tentera Amerika pasti akan membawa kerosakan yang tidak dapat dipulihkan. Bangsa Iran tidak akan menyerah,” kata Ayatollah Khamenei.
Iran menegaskan bahawa program nuklearnya adalah untuk tujuan aman dan menafikan sebarang usaha menghasilkan senjata nuklear.
Namun, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menyatakan bahawa Teheran telah melanggar komitmen Perjanjian Pencegahan Penularan Senjata Nuklear (NPT) buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.
Menurut sumber diplomatik Jerman, menteri luar Jerman, Perancis dan Britain dijadual bertemu rakan sejawat Iran pada 20 Jun di Geneva untuk mendesak Iran agar kembali ke meja rundingan.
Sementara rundingan diplomatik diteruskan, ribuan penduduk Teheran mula meninggalkan bandar raya yang dihuni 10 juta orang itu sejak 18 Jun, demi menyelamatkan diri daripada serangan udara Israel yang semakin sengit.
Seorang penduduk Teheran, Encik Arezou, 31 tahun, memberitahu agensi berita, Reuters, melalui telefon bahawa beliau telah melarikan diri ke bandar peranginan berhampiran, Lavasan.
“Kami akan tinggal di sini selagi perang ini berterusan. Rumah kawan saya di Teheran diserang dan abangnya cedera. Mereka orang awam.
“Kenapa kami perlu menanggung akibat keputusan rejim untuk meneruskan program nuklear?” katanya.
Akhbar Wall Street Journal melaporkan Encik Trump telah memaklumkan kepada penasihat tertinggi bahawa beliau meluluskan rancangan serangan ke atas Iran tetapi masih belum memberikan arahan akhir, untuk melihat sama ada Teheran akan menghentikan program nuklearnya.
Menurut laporan, Bloomberg News, pada 18 Jun, pegawai kanan Amerika sedang bersedia untuk kemungkinan serangan ke atas Iran dalam masa terdekat.
Menurut agensi berita Iran, SNN, pertahanan udara Iran diaktifkan pada awal pagi 19 Jun dan ia berjaya memintas dron yang menghampiri Teheran.
Media Iran turut melaporkan bahawa pihak berkuasa telah menahan 18 “ejen musuh” yang dipercayai membina dron untuk digunakan dalam serangan Israel di bandar Mashhad.
Tentera Israel pula menyatakan semboyan kecemasan dibunyikan di utara Israel dan di Lembah Jordan pada 19 Jun, dan mereka telah memintas dua dron yang dilancarkan dari Iran.
Serangan peluru berpandu dari Iran kali ini menandakan buat kali pertama dalam berdekad konflik bayangan dan perang proksi, sejumlah besar peluru dari Iran berjaya menembusi pertahanan dan membunuh rakyat Israel di rumah mereka.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dalam video rasmi yang dikeluarkan pada 18 Jun berkata negaranya sedang “bergerak langkah demi langkah” untuk menghapuskan ancaman dari tapak nuklear dan peluru berpandu balistik Iran.
“Kami sedang menyerang tapak nuklear, peluru berpandu, ibu pejabat dan simbol-simbol rejim,” kata Encik Netanyahu.
Israel, yang bukan anggota NPT dipercayai merupakan satu-satunya negara di Asia Barat yang memiliki senjata nuklear, meskipun tidak pernah mengesahkannya secara rasmi.
Encik Netanyahu turut mengucapkan terima kasih kepada Encik Trump, “sahabat besar negara Israel”, atas sokongannya dalam konflik itu dan menyatakan mereka berhubung secara berterusan.
Encik Trump mengeluarkan kenyataan bercanggah, daripada mencadangkan penyelesaian diplomatik yang segera kepada membayangkan kemungkinan penglibatan ketenteraan oleh Amerika.
Dalam hantaran media sosial pada 17 Jun, Encik Trump membayangkan kemungkinan membunuh Ayatollah Khamenei.
Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, ketika ditanya tentang reaksi beliau jika Israel membunuh Pemimpin Tertinggi Iran itu dengan bantuan Amerika, beliau menjawab pada 18 Jun dengan berkata:
“Saya tidak mahu membincangkan kemungkinan itu. Saya langsung tidak mahu.”
Encik Putin menyeru semua pihak agar mencari jalan menamatkan permusuhan dengan cara yang menjamin hak Iran terhadap tenaga nuklear aman dan hak Israel kepada keselamatan mutlak sebagai sebuah negara Yahudi.
Satu sumber yang mengetahui perbincangan dalaman Amerika berkata Encik Trump dan pasukannya sedang mempertimbangkan pilihan termasuk menyertai Israel dalam serangan ke atas kemudahan nuklear Iran.
Iran telah melancarkan sekitar 400 peluru berpandu ke arah Israel sejak 13 Jun.
Menurut pihak berkuasa Israel, sekitar 40 daripadanya melepasi sistem pertahanan dan membunuh 24 orang awam.
Iran pula melaporkan sekurang-kurangnya 224 kematian akibat serangan Israel, kebanyakannya orang awam, namun angka itu belum dikemas kini sejak beberapa hari lalu. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg