TEHERAN/TEL AVIV: Ketegangan di Asia Barat melonjak ke tahap baru selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menuntut “penyerahan tanpa syarat” daripada Iran, memberi isyarat bahawa Washington terbuka untuk menyertai kempen ketenteraan Israel ke atas Teheran.
Dalam hantaran di platform, Truth Social, pada 17 Jun, Encik Trump menulis:
“Kami tahu secara tepat di mana Ayatollah Ali Khamenei bersembunyi; kami tidak akan menyingkirkannya (bunuh), sekurang-kurangnya buat masa ini.”
Encik Trump turut mendakwa: “Kami kini menguasai sepenuhnya ruang udara Iran,” sambil mengaitkan keupayaan itu dengan teknologi Amerika yang digunakan Israel.
Pada awal 18 Jun, semboyan pertahanan udara berbunyi di beberapa kawasan Israel selepas tentera mengesan dua gelombang pelancaran peluru berpandu Iran dalam tempoh singkat.
Beberapa minit kemudian, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengeluarkan amaran pemindahan bagi satu kawasan perindustrian di timur laut Teheran, sebelum mengesahkan bahawa tentera udara Israel sedang melakukan siri serangan terhadap “prasarana ketenteraan” di ibu kota Iran itu.
Israel turut mendakwa berjaya membunuh, Mejar Jeneral Ali Shadmani, yang baru empat hari dilantik sebagai ketua operasi perang Iran.
Teheran belum mengesahkan kematian itu, namun penganalisis pertahanan berpandangan kehilangan beberapa komander kanan sekali gus boleh menyebabkan “kesilapan strategik” dalam tindak balas Iran.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berulang kali merayu kepada Washington agar menjatuhkan bom pemusnah kubu bawah tanah (bunker-buster) ke atas tapak nuklear Fordo, yang terletak jauh di bawah permukaan bumi Iran.
Senjata berkuasa tinggi itu direka khas untuk menembusi struktur konkrit dan batuan keras sebelum meledak, dan ia tidak dimiliki oleh Israel dari segi keupayaan atau pesawat yang boleh membawanya.
Seorang pegawai kanan Amerika mengesahkan Encik Trump dan Encik Netanyahu berhubungan melalui telefon pada petang 17 Jun, bertepatan dengan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara di Rumah Putih.
Seorang pegawai pentadbiran memberitahu media: “Presiden sedang menilai semua pilihan bagi memastikan Iran tidak lagi menyasarkan Israel dan menghentikan program pengayaan uraniumnya.”
Pegawai perisikan Amerika memaklumkan Iran telah menyiapkan peluru berpandu jarak sederhana dan dron untuk menyerang pangkalan Amerika di Teluk jika Washington menyertai peperangan.
Di pihak Israel, Menteri Pertahanan, Encik Israel Katz, memberi peringatan keras:
“Saya memberi amaran kepada diktator Iran: Hentikan jenayah perang dan serangan peluru berpandu ke atas rakyat Israel, atau anda akan menerima nasib sama seperti (bekas Presiden Iraq) Saddam Hussein.”
Encik Saddam dihukum gantung sampai mati, selepas disabitkan dengan jenayah terhadap kemanusiaan.
Pemindahan penduduk di Teheran pula semakin rancak susulan amaran IDF.
Laporan tempatan menyebut gangguan Internet meluas, dipercayai tindakan pemerintah Iran untuk mengehadkan aliran maklumat dan mengurangkan risiko serangan siber Israel.
Imej satelit baru yang dianalisis oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada 17 Jun menunjukkan “kesan langsung” serangan udara Israel di ruang pengayaan bawah tanah Natanz.
Sebelum serangan besar bermula pada 13 Jun, Lembaga Gabenor IAEA buat kali pertama dalam hampir dua dekad mengisytiharkan Iran melanggar kewajipan Perjanjian Pencegahan Penularan Nuklear (NPT).
Encik Trump sebelum ini menegaskan serangan Israel akan dihentikan sekiranya Iran bersetuju “sekatan ketat” ke atas pengayaan uranium.
Namun, Teheran bertegas program nuklearnya mempunyai tujuan aman.
Di London, Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, berusaha menenangkan kebimbangan sekutunya dengan berkata: “Tiada petunjuk bahawa Amerika akan memasuki konflik ini pada ketika ini.”
Walau bagaimanapun, Jabatan Pertahanan Amerika memutuskan untuk menambah kehadiran jet pejuang di rantau Teluk dan melanjutkan penugasan skuadron sedia ada sebagai langkah “pertahanan”.
Di tengah-tengah krisis itu, Encik Ayatollah Khamenei, mengeluarkan hantaran pertama sejak tuntutan “penyerahan tanpa syarat” Encik Trump, memetik frasa simbolik:
“Ali kembali ke Khaybar,” yang merujuk penaklukan kota Yahudi pada abad ketujuh.
Hantaran tersebut disertai gambar seorang lelaki menghunus pedang di hadapan pintu gerbang turut memaparkan jalur-jalur api di langit sebagai tanda ancaman baru terhadap Israel.
Kenyataan itu dibuat selepas semboyan amaran udara bergema di seluruh Tel Aviv dan bandar sekitarnya pada 17 Jun apabila Iran melancarkan satu lagi gelombang serangan peluru berpandu balistik ke atas Israel, yang paling hebat sejak konflik tercetus.
Menurut pegawai Israel dan Amerika, sekitar 100 peluru berpandu dilancarkan dalam dua gelombang serentak.
Nnamun, banyak yang berjaya dipintas sistem pertahanan udara Israel tetapi beberapa peluru berjaya bolos dan membedil kawasan tengah Tel Aviv.
Media Iran melaporkan Israel melancarkan “peperangan siber besar-besaran” terhadap prasarana digital negara itu.
Pusat arahan siber Iran serta-merta melarang pegawai kanan menggunakan telefon bimbit, manakala agensi berita, Fars News, dari Iran mengesahkan “pasukan pengganas” pro-Israel dengan bahan letupan ditahan di selatan Teheran.
Encik Trump menunjukkan dwipendekatan iaitu mengancam tindakan ketenteraan besar namun turut menawarkan rundingan melalui Utusan Timur Tengah, Encik Steve Witkoff, atau Naib Presiden, Encik J.D. Vance.
“Keputusan muktamad terletak pada Presiden,” kata Encik Vance ringkas selepas mesyuarat keselamatan 90 minit di Rumah Putih.
Di Baitulmakdis, Encik Netanyahu menegaskan bahawa “Israel tidak akan berundur selagi ancaman nuklear Iran belum dilumpuhkan”.
Sementara itu, seorang pegawai pertahanan Amerika mengakui: “Sekiranya kedua-dua negara terus bertindak tanpa ruang diplomasi, rantau ini berdepan risiko perang serantau berskala penuh.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg