JALURAN GAZA: Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) berkata enam pekerjanya terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah sekolah yang dikendalikan badan dunia itu di tengah Gaza.
Agensi Pertahanan Awam Gaza, yang dikendalikan Hamas, berkata 18 orang terbunuh dalam serangan pada 11 September ke atas sekolah Al-Jaouni, sebuah kem pelarian di Nuseirat, yang digunakan sebagai tempat perlindungan oleh beribu-ribu penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal.
Tentera Israel berkata ia melakukan “serangan tepat ke atas pengganas” yang merancang serangan dari sekolah itu.
Pada 12 September, tentera Israel mendakwa sembilan daripada mereka yang terbunuh adalah anggota sayap bersenjata Hamas dan tiga daripada mereka adalah kakitangan UNRWA.
Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata tentera Israel tidak meminta senarai kakitangan yang terbunuh.
Setiausaha Agung PBB, Encik António Guterres, mengecam serangan Israel itu, dengan berkata: “Apa yang berlaku di Gaza tidak boleh diterima sama sekali.”
“Pelanggaran dramatik undang-undang kemanusiaan antarabangsa ini perlu dihentikan sekarang,” tulisnya di wadah X.
Duta Israel ke PBB, Encik Danny Danon, mengecam kritikan Encik Guterres, dengan berkata:
“Adalah tidak wajar PBB terus mengutuk Israel dalam perangnya menentang pengganas, manakala Hamas terus menggunakan wanita dan kanak-kanak sebagai perisai manusia.”
Hamas telah menafikan menggunakan sekolah dan tapak awam lain untuk tujuan ketenteraan.
Tentera Israel melancarkan kempen ketenteraan untuk memusnahkan Hamas sebagai tindak balas kepada serangan oleh kumpulan itu pada 7 Oktober, membunuh lebih 1,400 orang dan dan lebih 240 yang lain ditahan sebagai tebusan.
Menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas di wilayah itu, lebih 41,110 orang terbunuh di Gaza sejak serangan berterusan Israel hingga kini.
UNRWA berkata serangan ke atas sekolah Al-Jaouni mengakibatkan “angka kematian tertinggi dalam kalangan kakitangan kami dalam satu kejadian” sejak perang bermula.
Video selepas serangan itu menunjukkan beratus-ratus orang memeriksa tingkat bawah bangunan sekolah yang rosak teruk itu.
Rakaman lain menunjukkan ambulans membawa lelaki, wanita dan kanak-kanak yang cedera ke Hospital Al-Aqsa di bandar Deir al-Balah.
“Rakan saya dan anak-anaknya cedera, dan pengarah dan timbalan pengarah tempat perlindungan ini terbunuh. Mereka berada di dalam pejabat ketika serangan berlaku,” kata seorang wanita.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata: “Banyak langkah telah diambil untuk mengurangkan risiko mencederakan orang awam, termasuk penggunaan peluru tepat, pengawasan udara dan risikan tambahan.”
Pejabat media pemerintah Gaza yang dikendalikan Hamas menuduh Israel melakukan “pembunuhan beramai-ramai secara kejam”.
UNRWA berkata dalam satu kenyataan bahawa dua serangan udara Israel melanda sekolah dan sekitarnya, yang menempatkan kira-kira 12,000 orang, terutamanya wanita dan kanak-kanak, yang kehilangan tempat tinggal. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg