GAZA: Tentera Israel telah mengarahkan semua penduduk Bandar Gaza berpindah dari selatan ke tengah Jaluran Gaza, di tengah-tengah operasinya yang dipergiatkan di utara.
Risalah yang ditebarkan oleh pesawat mengarahkan “semua orang di Bandar Gaza” meninggalkan apa yang disifatkan sebagai “zon tempur berbahaya” melalui dua laluan selamat ke tempat perlindungan di Deir al-Balah dan al-Zawaida.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata ia amat prihatin terhadap arahan pemindahan tersebut yang merupakan kali kedua dibuat sejak perang bermula pada Oktober.
Sejak dua minggu lalu, tentera Israel telah memasuki semula beberapa daerah yang mereka percaya Hamas dan anggota Jihad Islam Palestin telah berkumpul semula sejak awal 2024.
Hamas berkata kegiatan baru Israel di bandar itu boleh menggagalkan rundingan gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan, yang disambung semula pada 10 Julai di Qatar.
Rundingan itu dihadiri oleh ketua perisikan Mesir, Amerika Syarikat, Israel dan perdana menteri Qatar.
Pegawai tertinggi Hamas, Encik Hossam Badran, berkata bahawa Israel “sedang cuba memberi tekanan pada rundingan dengan mempergiatkan operasi pengeboman, pemindahan dan melakukan pembunuhan beramai-ramai”.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menekankan komitmen Israel terhadap perjanjian selagi “garis merah Israel dipelihara”.
Dianggarkan terdapat lebih suku daripada sejuta orang masih tinggal di Bandar Gaza. Ramai yang telah berpindah ke selatan.
Bulan Sabit Merah Palestin berkata ia telah menerima panggilan daripada beberapa penduduk yang tidak dapat meninggalkan rumah mereka kerana pengeboman yang berlaku.
“Penduduk hidup dalam keadaan tragik. Pasukan Israel terus menyerang daerah kediaman dan memindahkan orang dari rumah dan tempat perlindungan mereka,” katanya.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 10 Julai, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata tenteranya telah “menjalankan operasi menentang keganasan” semalaman terhadap Hamas dan anggota Jihad Islam yang beroperasi di dalam ibu pejabat Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Bandar Gaza.
Tentera telah memudahkan pemindahan orang awam” dari kawasan itu sebelum mereka menggempur struktur dan “menghapuskan pengganas dalam pertempuran jarak dekat”, tambah IDF.
Tiada komen segera daripada UNRWA.
Dalam pada itu, IDF berkata ia telah menyelesaikan serbuan selama dua minggu di kawasan kejiranan Shejaiya di Gaza, merobohkan lapan terowong utama dan membunuh lebih 150 lelaki bersenjata.
Ia menerbitkan rakaman yang menunjukkan salah satu terowong, yang telah dimusnahkan oleh unit kejuruteraan tempur Yahalom elit.
Menurut IDF, dua terowong turut dimusnahkan di Shejaiya, menjadikan jumlah keseluruhan di tengah-tengah operasi itu kepada lapan.
Di dalam terowong itu, IDF berkata tentera telah menemui senjata, komputer riba dan peralatan ketenteraan lain yang digunakan oleh Hamas dan Jihad Islam Palestin. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg