NEW DELHI: Sebuah hospital pemerintah di Rajasthan, India, sedang disiasat selepas doktor tersilap melakukan pembedahan ke atas seorang lelaki warga emas yang menemani anaknya di pusat kesihatan tersebut pada 12 April.
Mangsa dikenali sebagai Encik Jagdish Panchal, 60 tahun, menemani anaknya, Encik Manish yang cedera dalam kemalangan jalan raya dan perlu menjalani pembedahan kaki.
Ketika menunggu di luar bilik bedah, seorang petugas memanggil pesakit lain yang turut bernama Jagdish.
Difahamkan, mangsa yang mengalami kesukaran bercakap akibat serangan angin ahmar mengangkat tangan secara spontan dan dibawa masuk tanpa pengesahan identiti.
Walaupun cuba memaklumkan dirinya bukan pesakit, doktor terus melakukan prosedur dialisis fistula – prosedur yang menghubungkan arteri ke saluran darah – yang sebenarnya bukan untuknya.
Kesilapan hanya disedari apabila doktor pakar masuk ke bilik pembedahan dan mempersoalkan identiti pesakit sebelum prosedur itu dihentikan serta-merta dan luka pembedahan terus dirawat.
Encik Manish yang dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas selesai pembedahan meluahkan rasa terkejut dan kecewa terhadap kecuaian pihak hospital.
“Saya diberitahu Ayah telah dibawa untuk pembedahan. Saya tanya, pembedahan apa? Beliau datang bersama saya,” katanya.
Sumber hospital memaklumkan Encik Panchal tidak memakai gaun pesakit dan tidak menjalani pemeriksaan prapembedahan, namun kecuaian tetap berlaku apabila identiti beliau tidak disemak dengan betul. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg