NEW YORK: Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, berkata pada 27 Oktober bahawa beliau “terkejut dengan tahap kematian, kecederaan dan kemusnahan yang amat menyedihkan” di utara Gaza, dengan tentera Israel melakukan serangan yang mereka katakan bertujuan menghalang Hamas berkumpul semula.
“Nasib orang awam Palestin yang terperangkap di Gaza Utara tidak dapat ditanggung,” kata jurucakap Encik Guterres, Encik Stephane Dujarric.
“Setiausaha Agung (Encik Guterres) terkejut dengan tahap kematian, kecederaan dan kemusnahan yang amat menyedihkan di utara, dengan orang awam terperangkap di bawah runtuhan, orang sakit dan cedera yang tanpa penjagaan kesihatan yang boleh menyelamatkan nyawa, dan keluarga yang kekurangan makanan dan hilang tempat tinggal,” tambahnya.
Israel, yang berikrar untuk menghalang militan Hamas daripada berkumpul semula di utara Gaza, melancarkan serangan besar-besaran udara dan darat sejak 6 Oktober 2024.
Jurucakap PBB itu berkata menurut kementerian kesihatan Gaza, ratusan orang telah terbunuh dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan lebih 60,000 yang lain terpaksa melarikan diri.
“Usaha berulang untuk menyampaikan bekalan kemanusiaan yang penting untuk terus hidup – makanan, ubat dan tempat tinggal – terus ditolak oleh pihak berkuasa Israel, dengan sedikit sahaja pengecualian. Ini meletakkan banyak nyawa dalam bahaya,” kata Encik Dujarric.
“Atas nama kemanusiaan, Setiausaha Agung mengulangi gesaannya untuk gencatan senjata segera, pembebasan segera semua tebusan tanpa syarat, dan kebertanggungjawapan ke atas jenayah di bawah undang-undang antarabangsa.”
Pada lewat 27 Oktober, jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Encik Mahmud Bassal, menyelar “pengepungan” Israel yang berterusan di kawasan Jabalia, Beit Hanun dan Beit Lahia di utara Gaza, sambil mengatakan 100,000 orang terperangkap di situ.
“Selama 22 hari, tiada setitik air atau secebis roti yang memasuki utara Gaza,” kata Encik Bassal dalam satu kenyataan.
“Pasukan pendudukan telah membunuh sesiapa sahaja yang cuba memberikan perkhidmatan kepada penduduk utara Gaza.”
Penduduk Beit Lahia, Encik Bilal al-Hajri, 25 tahun, berkata pengepungan itu mencetuskan kebuluran di kawasan itu.
“Kami benar-benar sedang mati di bawah kepungan yang ketat dan berlaku kebuluran,” katanya kepada AFP.
“Tiada seorang pun daripada kami boleh meninggalkan rumah kami untuk menyediakan makanan dan minuman... sesiapa sahaja yang keluar menjadi sasaran.”
Tentera Israel telah menerima kritikan hebat kerana operasinya di utara Gaza, di mana puluhan ribu orang awam terperangkap.
Israel berkata matlamat serangan itu adalah untuk memusnahkan keupayaan operasi yang dikatakan cuba dibina semula oleh Hamas di utara. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg