Hotel Mira Ajyad di Makkah terbakar, tiada kecederaan dilapor
Hotel Mira Ajyad di Makkah terbakar, tiada kecederaan dilapor
MAKKAH: Sebuah hotel di Makkah yang popular dalam kalangan jemaah Asia Tenggara dilaporkan terbakar pada petang 12 Mac, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan jemaah umrah yang berada di kawasan berkenaan.
Kebakaran itu melibatkan Hotel Mira Ajyad, yang terletak di kawasan Ajyad berhampiran Masjidil Haram.
Rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan api marak pada sebahagian bangunan hotel tersebut, dengan kepulan asap tebal kelihatan jelas di ruang udara Makkah.
Beberapa anggota jemaah yang berada di lokasi berkongsi pengalaman mereka ketika kejadian berlaku.
Seorang anggota jemaah dari Indonesia yang dikenali sebagai Encik Prayaudityoryan berkata beliau sempat dipindahkan keluar dari hotel sebelum api merebak dengan lebih ganas.
“Saya sudah dipindahkan dari hotel sebelum api menjadi semakin besar,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Seorang guru agama yang berada di Makkah turut berkongsi video menunjukkan suasana tegang di jalan utama di hadapan hotel berkenaan ketika pasukan keselamatan dan penyelamat berusaha mengawal keadaan.
Beberapa anggota jemaah umrah lain turut memuat naik gambar yang menunjukkan asap hitam tebal menjulang di ruang udara Makkah.
Kejadian itu turut mencetuskan reaksi daripada ramai pengguna media sosial, termasuk mereka yang pernah menginap di hotel tersebut sebelum ini.
Ada yang meluahkan rasa sedih melihat kejadian itu, manakala yang lain mendoakan agar tiada mangsa terkorban.
Menurut laporan awal pihak berkuasa, kebakaran dipercayai bermula daripada longgokan bahan buangan di sebuah kawasan kosong berhampiran hotel, lapor The Islamicinformation.
Bahan seperti sisa pembinaan dan kayu dipercayai menjadi punca api cepat merebak sebelum menjejas kawasan sekitar.
Api kemudian merebak sehingga menyebabkan kerosakan yang dapat dilihat pada bahagian luar hotel serta sebuah restoran berhampiran sebelum berjaya dikawal.
Pasukan Pertahanan Awam Makkah segera tiba di lokasi kejadian dan menjalankan operasi pemadaman kebakaran.
Pasukan penyelamat berjaya mengawal api sebelum ia merebak ke bahagian dalam bangunan atau menyebabkan kerosakan struktur yang lebih serius.
Restoran yang terletak bersebelahan hotel itu bagaimanapun dilaporkan mengalami kerosakan akibat kebakaran tersebut.
Setakat ini, tiada kecederaan dilaporkan.
Hotel Mira Ajyad terletak di kawasan yang sangat sibuk di Makkah kerana kedudukannya berhampiran Masjidil Haram, terutama sepanjang Ramadan apabila jutaan anggota jemaah berada di Kota Suci itu untuk menunaikan ibadah umrah.
Sementara itu, Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) mengesahkan semua jemaah Malaysia yang menginap di hotel tersebut berada dalam keadaan selamat.
Menurut kementerian itu, kebakaran dilaporkan berlaku kira-kira 5 petang waktu tempatan di hotel berkenaan yang menempatkan sekitar 70 anggota jemaah Malaysia.
Jemaah tersebut berada di bawah pengurusan beberapa agensi pelancongan termasuk TH Travel, Zahafiz Travel dan Rayhar Travel.
Wisma Putra memaklumkan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah segera berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta agensi pelancongan berkaitan bagi memastikan keselamatan semua jemaah.
“Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah telah segera menyelaras dengan pihak berkuasa Arab Saudi dan agensi pelancongan bagi memastikan keselamatan semua jemaah Malaysia,” kata kenyataan kementerian itu.
Setakat ini, siasatan lanjut mengenai punca sebenar kebakaran masih dijalankan oleh pihak berkuasa Arab Saudi. – Agensi berita.

