SANAA: Ketegangan antara Arab Saudi dengan kumpulan Houthi di Yaman semakin memuncak selepas serangan udara Saudi dilaporkan menyebabkan 25 orang terbunuh atau hilang di barat daya Yaman.

Sementara itu, pakatan tentera pimpinan Riyadh mengumumkan kejayaan memintas dan memusnahkan sebuah dron yang dilancarkan ke arah selatan Arab Saudi.

Agensi berita, Saba, yang dikendalikan Houthi pada 24 November melaporkan bahawa serangan udara Arab Saudi menyasarkan beberapa bas dan trak di kawasan Wadi Mabak, wilayah Lahj, di barat daya Yaman.

“Jumlah mereka yang terbunuh atau hilang selepas pesawat perang Saudi menyerang bas dan trak di kawasan Wadi Mabak, wilayah Lahj, meningkat kepada 25 orang, manakala enam lagi cedera,” lapor Saba, seperti dipetik agensi berita, AFP.

Menurut laporan itu, usaha mencari dan menyelamat mangsa turut terjejas akibat kehadiran pesawat perang Saudi yang terus berlegar di ruang udara kawasan berkenaan.

Jurucakap tentera Houthi, Encik Yahya Saree, sebelum itu mengesahkan serangan tersebut pada 23 November menerusi satu kenyataan di wadah media sosial X, namun tidak memberikan angka korban.

Beliau turut memberi amaran bahawa kumpulan itu akan bertindak balas terhadap serangan berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, kementerian telekomunikasi yang dikendalikan Houthi mendakwa beberapa serangan udara pada hari yang sama di wilayah pesisir pantai Hodeidah turut mengakibatkan korban jiwa dan memusnahkan beberapa bangunan.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Arab Saudi belum memberikan sebarang maklum balas segera berhubung dakwaan serangan di Lahj dan Hodeidah.

AFP juga tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan yang dikemukakan pihak Houthi itu.

Sementara itu, pakatan tentera pimpinan Arab Saudi mengumumkan pada awal 24 November, pihaknya berjaya memintas dan memusnahkan sebuah dron yang dilancarkan kumpulan Houthi dari Yaman ke arah selatan Arab Saudi.

Jurucakap pakatan tersebut, Encik Turki Al-Maliki, mengumumkan perkembangan itu menerusi kenyataan di X.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan lokasi dron tersebut dipintas atau memberikan maklumat mengenai kemungkinan korban jiwa, kecederaan atau kerosakan.

Pada 22 November, pakatan tentera itu turut melaporkan kejayaan memintas sebuah dron Houthi yang dilancarkan ke arah selatan Arab Saudi serta sebutir peluru berpandu balistik yang disasarkan ke arah barat negara tersebut.

Kawasan pantai Laut Merah di barat Arab Saudi menempatkan beberapa kemudahan minyak utama negara itu.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kumpulan Houthi meningkatkan serangan terhadap Arab Saudi, termasuk menyasarkan kemudahan tenaga, lapangan terbang dan kawasan ketenteraan.

Perkembangan terkini itu mencerminkan peningkatan ketegangan antara kedua-dua pihak sejak pertempuran kembali tercetus pada Julai 2026, selepas gencatan senjata antara Houthi dengan pemerintah Yaman yang disokong Arab Saudi runtuh.

Yaman, yang telah dilanda perang saudara selama lebih sedekad, turut terheret ke dalam konflik lebih luas antara Amerika Syarikat dengan Iran sejak Julai.

Menurut angka terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 1,600 orang terbunuh manakala lebih 300,000 lagi terpaksa meninggalkan tempat tinggal masing-masing sejak pertempuran kembali tercetus.

Konflik yang berlarutan itu terus memburukkan keadaan kemanusiaan di Yaman, negara termiskin di Semenanjung Arab.

Arab Saudi sejak 2015 mengetuai pakatan tentera bagi menyokong pemerintah Yaman dalam konflik menentang kumpulan Houthi.

Kumpulan Houthi pula menguasai ibu kota Yaman, Sanaa, serta beberapa kawasan lain di negara itu sejak 2014.

Dalam pada itu, media Houthi pada 22 November menyiarkan rakaman video yang didakwa menunjukkan sejumlah besar bekalan senjata yang dirampas kumpulan tersebut kira-kira sebulan lalu berhampiran bandar pesisir pantai Mocha, selepas pasukan tentera pemerintah Yaman berundur dari kawasan berkenaan.

Rakaman yang disiarkan agensi berita, Saba itu menunjukkan sejumlah besar bekalan ketenteraan yang didakwa berasal dari Amerika.

Menurut Saba, sebahagian daripada bekalan tersebut mempunyai label yang menunjukkan ia pernah melalui Dammam, sebuah bandar di timur Arab Saudi.

Bagaimanapun, dakwaan mengenai asal usul bekalan senjata tersebut belum dapat disahkan secara bebas.

Peningkatan serangan udara di Yaman serta pelancaran dron dan peluru berpandu ke arah Arab Saudi menandakan konflik antara kedua-dua pihak semakin sengit, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan serantau dan keadaan penduduk awam.

Pertempuran terbaharu itu juga berlaku ketika Yaman masih bergelut dengan kesan perang saudara yang berlarutan, manakala ratusan ribu penduduk terpaksa berpindah sejak permusuhan kembali tercetus.

Sementara pakatan tentera pimpinan Arab Saudi terus melaporkan kejayaan memintas serangan Houthi, kumpulan itu pula memberi isyarat ia tidak akan menghentikan penentangan terhadap pasukan yang disokong Riyadh.

Agensi berita Saba mendakwa rampasan bekalan senjata berhampiran Mocha itu merupakan yang terbesar pernah dilakukan kumpulan Houthi dan membolehkan mereka “memerangi musuh untuk bertahun-tahun akan datang”. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti