Topik diikuti
Pergi ke BHkuHouthi ikrar terus serang lapangan terbang, kemudahan minyak Saudi
Campur tangan Saudi alasan serangan Houthi, Saudi tutup lapangan terbang hingga 17 Okt susulan ugutan meluas
Houthi ikrar terus serang lapangan terbang, kemudahan minyak Saudi
RIYADH/DUBAI: Houthi Yaman berikrar pada 14 Oktober untuk meneruskan serangan ke atas lapangan terbang dan kemudahan minyak di Arab Saudi, sehari selepas serangan yang menurut sumber menyebabkan kerosakan meluas pada ibu pejabat gergasi minyak Saudi Aramco.
Houthi berkata lokasi yang diugut itu ialah sasaran yang sah dan menyifatkan serangan mereka sebagai tindak balas terhadap serangan Saudi ke atas Yaman.
Mereka mengugut untuk meningkatkan konflik yang tercetus semula akibat konfrontasi Amerika Syarikat-Iran di Teluk.
Arab Saudi berdepan serangan Houthi yang semakin meluas sejak seminggu lalu, termasuk serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh pada 10 Oktober yang membunuh 13 orang.
Serangan pada malam 13 Oktober ke atas pangkalan Saudi Aramco di bandar timur Dhahran menyebabkan kebakaran yang merebak ke beberapa tingkat. Kementerian tenaga Arab Saudi sebelum ini berkata serangan itu menyebabkan kebakaran terhad.
Operasi di Aramco diteruskan seperti biasa, dengan pekerja bekerja dari rumah. Aramco tidak segera mengulas tentang kejadian itu.
Konflik yang semakin memuncak itu memberi tamparan kepada rancangan bercita-cita tinggi Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman, untuk mengubah dan mempelbagaikan ekonomi negara itu serta mengurangkan kebergantungannya pada minyak.
Houthi berkata mereka membalas sokongan kerajaan itu terhadap pasukan kerajaan Yaman dalam perang Yaman yang bermula semula pada September.
Gabungan pimpinan Arab Saudi berkata ia memintas sebuah peluru berpandu balistik yang dilancarkan Houthi ke arah Riyadh pada 14 Oktober, dan beberapa dentuman kuat kedengaran di ibu negara Arab Saudi itu.
Pihak berkuasa Arab Saudi terdahulu mengeluarkan amaran tentang kemungkinan ancaman udara di Riyadh pada 14 Oktober, sebelum amaran itu ditarik balik, kata seorang saksi.
Punca dentuman itu tidak jelas dengan serta-merta dan pihak berkuasa tidak segera mengulas tentang puncanya.
Dalam kenyataan pada 14 Oktober, Houthi berkata mereka melancarkan peluru berpandu balistik, peluru berpandu jelajah dan dron ke arah kemudahan Saudi Aramco di Dhahran, lapangan terbang Riyadh dan sebuah kilang Aramco di Riyadh.
Dalam ugutan yang meluas, mereka menggesa syarikat perkapalan antarabangsa, orang awam dan pekerja supaya berpindah dari lapangan terbang dan kemudahan minyak Arab Saudi.
Kompleks Dhahran menempatkan pusat operasi utama Aramco, yang menyelia rangkaian luas pelantar minyak darat dan luar pesisir, saluran paip, kilang penapisan dan terminal eksport.
Lapangan terbang antarabangsa Riyadh diserang empat kali, termasuk serangan Sabtu yang paling maut di Arab Saudi dalam tempoh sedekad.
Pihak berkuasa menutup lapangan terbang itu sehingga 17 Oktober, dan syarikat penerbangan membatalkan penerbangan ke Arab Saudi.
Kerana bimbang pengaruh Iran semakin meningkat dan kemungkinan huru-hara di sempadannya, Arab Saudi campur tangan dalam perang saudara Yaman untuk menyokong kerajaan pada 2015, selepas Houthi merampas ibu kota Sanaa.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadi orang tengah gencatan senjata pada 2022 antara pihak yang bertelagah di Yaman, yang mengekalkan keamanan rapuh sehingga 2026. – Reuters.