Topik diikuti
Pergi ke BHkuSaudi dedah risikan ancaman serangan serentak proksi Iran, Houthi dan militia Iraq
RIYADH: Arab Saudi sedang meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan serangan terancang dari dua arah oleh kumpulan militia Iraq dan Houthi di Yaman, susulan maklumat risikan yang menunjukkan serangan terhadap kemudahan awam dan ekonomi negara itu mungkin berlaku dalam masa terdekat.
Seorang pegawai kanan Arab Saudi berkata beberapa laporan risikan yang dianggap boleh dipercayai menunjukkan kumpulan bersenjata yang disokong Iran sedang menyelaraskan persiapan bagi melancarkan serangan dari Iraq di utara dan Yaman di selatan.
Menurutnya, persiapan itu dipercayai melibatkan Houthi, militia Iraq dan anggota Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran.
“Terdapat beberapa laporan risikan yang boleh dipercayai” mengenai kemungkinan serangan itu, kata pegawai berkenaan yang enggan dikenali.
Beliau berkata maklumat yang diterima daripada Arab Saudi, Amerika Syarikat dan beberapa negara serantau menunjukkan anggota militia Iraq, dengan penyelarasan Houthi, sedang merancang serangan terhadap Arab Saudi “dalam masa terdekat” di bawah bimbingan IRGC.
Antara kemungkinan sasaran ialah kemudahan awam dan kepentingan ekonomi, termasuk prasarana tenaga, lapangan terbang dan pelabuhan.
Arab Saudi juga dilaporkan mengesan pergerakan dron dan peluru berpandu yang dipercayai sedang ditempatkan semula sebagai persediaan untuk melancarkan beberapa serangan secara serentak.
Pegawai itu berkata pihak berkuasa turut memperoleh maklumat mengenai pertemuan yang membabitkan anggota militia Iraq, Houthi dan beberapa anggota IRGC.
“Saya fikir mereka mahu menyelaraskan serangan dari utara dan selatan,” katanya.
Ancaman itu dianggap serius kerana muncul ketika Riyadh sedang berusaha meredakan ketegangan serantau dan menyokong penyelesaian menerusi rundingan, termasuk usaha diplomatik membabitkan Iran yang dilaporkan menunjukkan perkembangan positif.
Pegawai itu tidak menolak kemungkinan serangan berkenaan bertujuan menggagalkan kemajuan rundingan yang sedang berlangsung.
Beliau turut membangkitkan kemungkinan bahawa perkembangan itu mencerminkan perbezaan pendirian atau perebutan pengaruh dalam Iran sendiri.
“Arab Saudi akan mengambil semua langkah yang perlu untuk menangani sebarang pencerobohan,” katanya.
Pada masa sama, Riyadh akan meneruskan usaha meredakan ketegangan dan mengekalkan hubungan dengan pihak berkuasa Iraq berhubung ancaman daripada kumpulan bersenjata di negara itu.
Pegawai tersebut bagaimanapun tidak mendedahkan tindak balas yang diterima daripada Baghdad.
Amaran terbaru itu menyusuli maklumat daripada sumber Iraq bahawa beberapa kumpulan bersenjata dipercayai merancang melancarkan serangan dron terhadap “negara jiran” dalam tempoh 48 jam.
Kebimbangan Riyadh meningkat selepas Houthi mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan ke atas sebuah kapal tangki minyak Arab Saudi di Teluk Aden, antara laluan perkapalan penting dunia.
Arab Saudi juga berdepan beberapa serangan sejak beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk peluru berpandu yang dilancarkan Houthi dari Yaman serta serangan dron oleh militia Iraq yang disokong Iran.
Tidak lama selepas kenyataan pegawai kanan itu, pakatan tentera pimpinan Arab Saudi melaporkan 11 orang awam cedera dalam serangan Houthi di selatan negara itu berhampiran sempadan Yaman pada 6 Ogos.
Tujuh mangsa adalah warga Arab Saudi, termasuk seorang wanita dan kanak-kanak berusia empat tahun yang mengalami kecederaan melecur tahap kedua.
Seorang warga Yaman, dua warga Mesir dan seorang warga Pakistan turut cedera.
Pakatan itu berkata serangan tersebut menggunakan bedilan tanpa mengira sasaran yang mengenai kawasan awam.
Perkembangan keselamatan itu berlaku menjelang sidang puncak antara Arab Saudi, Turkey dengan Pakistan di Makkah pada 7 Ogos.
Menurut sumber serantau, ketiga-tiga negara dijangka mengumumkan satu perjanjian pertahanan bersama dalam pertemuan tersebut, ketika kebimbangan semakin meningkat bahawa konflik serantau boleh merebak ke negara Teluk.
Kerjasama keselamatan antara Arab Saudi dan Amerika Syarikat juga kekal kukuh di tengah-tengah ancaman terbaru itu.
Menurut pegawai Arab Saudi, penyelarasan antara kedua-dua negara kekal “sangat kukuh” pada semua peringkat, termasuk hubungan dan kerjasama antara angkatan tentera mereka.
Arab Saudi sebelum ini mengetuai pakatan tentera yang campur tangan dalam perang Yaman pada 2015 bagi menentang Houthi selepas kumpulan itu menguasai Sanaa dan sebahagian besar kawasan utara negara berkenaan.
Campur tangan itu gagal menyingkirkan Houthi dari kubu utama mereka di utara Yaman, manakala konflik berpanjangan selama beberapa tahun mencetuskan antara krisis kemanusiaan paling buruk di dunia.
Ancaman serangan terbaru kini menambah kebimbangan bahawa Arab Saudi boleh sekali lagi menjadi medan utama dalam konflik lebih luas yang membabitkan Iran dan kumpulan bersenjata sekutunya di rantau tersebut. – Agensi berita.
