RIYADH: Kumpulan Houthi yang disokong Iran melancarkan serangan besar-besaran menggunakan dron dan peluru berpandu ke atas empat bandar di selatan Arab Saudi pada 8 September, mencederakan sekurang-kurangnya 73 orang serta mencetuskan kebakaran di beberapa kemudahan minyak.

Serangan itu berlaku ketika konflik di Teluk kembali memuncak selepas Amerika Syarikat menyambung semula serangan terhadap sasaran Iran, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap bekalan tenaga global dan mendorong harga minyak menghampiri paras AS$100 (S$128) setong.

Serangan pada 8 September itu menandakan peluasan ketara konflik yang telah berlarutan selama enam bulan di Timur Tengah, dengan kedua-dua pihak kini semakin menyasarkan prasarana tenaga dan laluan strategik yang penting kepada ekonomi dunia.

Houthi berkata mereka melancarkan operasi jauh ke dalam wilayah Arab Saudi dengan menyasarkan sebuah pangkalan udara di Khamis Mushait serta aset milik syarikat minyak negara Saudi Aramco di bandar Abha, Najran dan Jazan.

Pihak berkuasa Arab Saudi mengesahkan kebakaran berlaku di beberapa lokasi yang diserang dan memaklumkan wanita serta kanak-kanak antara mangsa yang cedera.

Imej satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika (NASA) menunjukkan kepulan asap hitam tebal menyelubungi kawasan loji penapisan minyak Jazan, manakala asap putih kelihatan keluar dari sebuah pusat pengedaran minyak di Abha.

Bagaimanapun, tiada rakaman yang disahkan dari lokasi serangan diperoleh kerana kawalan ketat terhadap media di Arab Saudi.

Pada masa sama, tentera Amerika melancarkan serangan ke atas beberapa kapal tangki minyak Iran yang dikaitkan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

Seorang pegawai Amerika berkata serangan itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap cubaan Iran menyerang sebuah kapal perang Tentera Laut Amerika, sekali gus menamatkan tempoh dua hari tanpa serangan langsung antara kedua-dua negara.

Media Iran melaporkan sekurang-kurangnya dua kapal tangki minyak menjadi sasaran.

Agensi berita Tasnim berkata sebuah peluru berpandu Amerika mengenai kapal tangki kira-kira enam kilometer dari hab minyak Pulau Kharg, manakala televisyen negara melaporkan sebuah lagi kapal diserang berhampiran perairan Jask di Teluk Oman.

IRGC kemudian mengancam akan menyasarkan kapal tangki minyak yang berlabuh di pelabuhan Kuwait dan Bahrain sebagai tindak balas.

Dalam kenyataannya, IRGC turut memberi amaran kepada kru kapal supaya mengosongkan kawasan pelabuhan berkenaan.

Houthi menguasai sebahagian besar kawasan berpenduduk di Yaman, termasuk ibu kota Sanaa, dan telah berperang dengan gabungan tentera Arab Saudi selama lebih sedekad.

Walaupun konflik itu menunjukkan tanda-tanda reda sejak beberapa tahun lalu, gencatan senjata semakin rapuh selepas kedua-dua pihak kembali melancarkan operasi ketenteraan.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, pasukan pemerintah Yaman yang disokong Arab Saudi melancarkan serangan dari beberapa arah ke atas wilayah yang dikuasai Houthi selepas kumpulan itu cuba mara ke kawasan di bawah kawalan pemerintah.

Jurucakap Houthi, Encik Yahya Saree, menuduh Riyadh meningkatkan konflik melalui serangan udara ke atas Yemen dan menegaskan kumpulan itu akan terus membalas tindakan Arab Saudi.

Pemerintah Yaman pula berkata matlamatnya adalah merampas semula semua wilayah yang kini dikuasai Houthi.

Pertempuran terbaru di Teluk menimbulkan kebimbangan bahawa konflik tidak lagi terhad kepada Selat Hormuz, tetapi mula mengancam kemudahan tenaga di Arab Saudi.

Serangan ke atas loji penapisan dan pusat pengedaran minyak di Jazan dan Abha berpotensi mengganggu bekalan tenaga serantau sekiranya berlarutan.

Selepas keadaan relatif tenang sepanjang Ogos, berbalas serangan antara Iran dan Amerika menyebabkan harga minyak mentah Brent dan West Texas Intermediate melonjak ke paras tertinggi sejak Julai dan Jun.

Amerika kini berusaha memastikan laluan perkapalan di Selat Hormuz terus dibuka bagi membolehkan eksport minyak dunia diteruskan, sambil mengetatkan sekatan terhadap eksport minyak Iran.

Sebaliknya, Teheran mengumumkan rancangan mewujudkan “zon pengecualian maritim” yang akan merangkumi kawasan sekitar sekatan Amerika, Selat Hormuz dan sebahagian Teluk, sebagai langkah memperkukuh kawalan keselamatannya.

Konflik yang berpanjangan turut memberi kesan kepada ekonomi global apabila bekalan minyak mentah dan bahan api bertapis semakin terhad.

Di Amerika Syarikat, harga diesel kini mencapai paras purata runcit tertinggi dalam sejarah, sekali gus meningkatkan tekanan politik terhadap pentadbiran Presiden Donald Trump menjelang pilihan raya Kongres pada November.

Walaupun serangan udara Amerika telah melemahkan sebahagian keupayaan ketenteraan konvensional Iran, pegawai pertahanan Barat mengakui Teheran masih memiliki peluru berpandu balistik dan dron yang mampu mengancam pangkalan tentera Amerika serta kapal dagang di Selat Hormuz.

Dengan serangan Houthi ke atas Arab Saudi dan tindak balas langsung AS terhadap Iran, konflik Timur Tengah kini memasuki fasa baharu yang berisiko memperluaskan peperangan dari Gaza dan Teluk kepada infrastruktur tenaga utama rantau itu. - Agensi berita