Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hubungan 20 tahun PDI-P, Jokowi temui titik noktah

Dec 30, 2024 | 5:30 AM
(Dari kiri) Ketua Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Cik Megawati Sukarnoputri; mantan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo; Naib Presiden Encik Ma’ruf Amin; dan mantan calon presiden serta mantan Gabenor Jawa Tengah, Encik Ganjar Pranowo, menghadiri acara memperingati Presiden pertama Indonesia, Encik Sukarno, di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, pada 24 Jun 2023.
(Dari kiri) Ketua Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Cik Megawati Sukarnoputri; mantan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo; Naib Presiden Encik Ma’ruf Amin; dan mantan calon presiden serta mantan Gabenor Jawa Tengah, Encik Ganjar Pranowo, menghadiri acara memperingati Presiden pertama Indonesia, Encik Sukarno, di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, pada 24 Jun 2023. - Foto AFP

JAKARTA: Hubungan antara mantan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo dengan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) akhirnya menemui titik noktah selepas parti itu secara rasmi memecat Encik Jokowi dan keluarganya.

Pada 15 Disember, PDI-P secara rasmi mengumumkan pemecatan Encik Jokowi serta anggota keluarganya termasuk anaknya yang kini merupakan Naib Presiden Indonesia, Encik Gibran Rakabuming Raka, dan menantunya, Encik Bobby Nasution.

Pemecatan itu menjadi titik perubahan besar dalam politik Indonesia yang menunjukkan betapa rapuhnya ikatan antara Encik Jokowi dengan parti yang telah membawanya ke puncak kekuasaan pada 2014 dan 2019.

Menurut Setiausaha Agung PDI-P, Encik Hasto Kristiyanto, keputusan itu dibuat selepas Encik Jokowi dan keluarganya gagal mematuhi garis panduan parti dan komitmen yang telah ditetapkan.

“Jokowi telah melanggar kod etika dan disiplin parti dengan melawan secara terang-terangan keputusan parti yang mencalonkan Ganjar Pranowo-Mahfud MD di Pilpres (Pilihan Raya Presiden) 2024,” kata Ketua Dewan Kehormat PDI-P, Encik Komarudin Watubun.

Menurut Encik Hasto, tindakan itu adalah hasil sokongan mereka terhadap calon-calon yang bertentangan dengan keputusan rasmi parti.

PDI-P yang dipimpin oleh Cik Megawati Sukarnoputri turut mengumumkan pemecatan 27 anggota lain yang dianggap tidak setia kepada parti itu.

Walaupun PDI-P secara de facto telah menganggap Encik Jokowi bukan lagi kader mereka, parti tersebut memilih untuk tidak segera mengambil tindakan pemecatan, menghormati statusnya sebagai Presiden Republik Indonesia.

“Bagaimanapun kita tetap jaga kehormatan beliau sebagai kepala negara, kepala pemerintahan,” kata Encik Komarudin pada awal Disember 2023.

PDI-P dan Encik Jokowi telah berkongsi sejarah yang panjang.

Sejak menyertai parti tersebut pada 2004, Encik Jokowi telah melalui pelbagai tahap kejayaan politik, daripada Wali Kota Solo, Gabenor Jakarta hinggalah Presiden Indonesia untuk dua penggal berturut-turut.

Encik Jokowi menjadi kader PDI-P sejak 2004, sebelum mencalonkan diri sebagai Wali Kota Solo.

Pada 2005, beliau menang pilihan raya di Solo dengan sokongan PDI-P dan Parti Kebangkitan Bangsa (PKB).

Kemenangan itu membuka jalan bagi beliau untuk bertanding semula pada 2010 dan memperoleh kemenangan luar biasa, dengan 90 peratus sokongan.

Kejayaan itu menarik perhatian para pemimpin parti di Jakarta yang mengangkat Encik Jokowi menjadi calon Gabenor Jakarta pada 2012, dan beliau berjaya menewaskan penyandang ketika itu, Encik Fauzi Bowo.

Encik Jokowi kemudian dicalonkan oleh PDI-P untuk Pilpres 2014 seiring Encik Jusuf Kalla, dan mereka berjaya mengalahkan pasangan Prabowo Subianto-Hatta Rajasa.

Setelah penggal pertama sebagai presiden, PDI-P kembali mencalonkan Encik Jokowi pada Pilpres 2019, dan beliau sekali lagi mengalahkan Encik Prabowo.

Kemenangan tersebut menjadikan Encik Jokowi sebagai presiden selama dua penggal, sesuatu yang jarang berlaku selepas era Reformasi.

Hubungan antara Encik Jokowi dan PDI-P mula renggang terutama apabila PDI-P memilih Encik Ganjar Pranowo untuk bertanding dalam Pilpres 2024.

Meskipun terdapat petunjuk bahawa Encik Jokowi mendukung Encik Ganjar, beliau tidak terlibat secara langsung dalam keputusan PDI-P untuk mencalonkan Encik Ganjar.

Perpecahan itu semakin jelas apabila Encik Bobby Nasution, menantu Encik Jokowi, menyokong pasangan Prabowo-Gibran dalam Pilpres 2024, yang bertentangan dengan keputusan PDI-P untuk mengetengahkan gandingan Ganjar-Mahfud.

Encik Bobby kemudian menyertai parti Gerindra dan dicalonkan sebagai Gabenor Sumatera Utara untuk menentang penyandang, Encik Edy Rahmayadi.

Tindakan ini, bersama dengan sokongan Encik Jokowi terhadap calon yang disokong oleh koalisi Encik Prabowo, menyebabkan kerugian besar kepada PDI-P di beberapa kubu tradisionalnya seperti Jawa Tengah, Jawa Timur dan juga Sumatera Utara.

Encik Jokowi, yang pernah dianggap sebagai simbol perpaduan dalam PDI-P dan pemecatan Encik Jokowi daripada PDI-P bukan sahaja menandakan berakhirnya satu era dalam politik Indonesia bahkan juga membuka ruang spekulasi mengenai langkah politik beliau seterusnya.

Spekulasi itu termasuk kemungkinan bergabung dengan parti lain; menyertai parti lain; membentuk parti baru atau kekal bebas.

Langkah itu pasti akan memberi kesan besar ke atas politik Indonesia pada masa hadapan.

Terdapat khabar angin bahawa Encik Jokowi mungkin akan menyertai Parti Golkar, terutama selepas peletakan jawatan mantan ketua, Encik Airlangga Hartarto.

Hubungan rapat mantan Presiden itu dengan ketua Golkar semasa, Encik Bahlil Lahadalia, turut mendapat perhatian.

Namun, sumber dalaman Golkar menyatakan terdapat tentangan daripada ahli kanan parti terhadap kemungkinan kemasukan Encik Jokowi.

Selain itu, Encik Jokowi juga dikaitkan dengan parti Gerindra selepas pertemuan beliau dengan Encik Prabowo di kediaman Presiden Indonesia itu di Jakarta Selatan.

Di pihak Gerindra, Encik Prabowo dikatakan sedang menimbang kesan elektoral jika Encik Jokowi menyertai partinya, terutama apabila Gerindra sudah memiliki pengaruh besar melalui kedudukan Presiden Prabowo yang menerajui Gerindra sekarang.

Walaupun Encik Jokowi menyifatkan pertemuan itu sebagai kunjungan balas, penganalisis politik melihatnya sebagai usaha untuk mencari perlindungan politik bagi melindungi warisan dan keluarganya daripada kemungkinan tindakan balas oleh PDI-P.

“Jokowi sudah tidak dilihat mempunyai kesan elektoral yang kuat lagi, kerana Prabowo sendiri sudah mempunyai pengaruh besar sebagai presiden,” kata seorang ahli Gerindra.

Menurut seorang ahli politik propemerintah, Encik Jokowi dan anaknya, Encik Gibran, masih belum memutuskan untuk menyertai mana-mana parti politik.

“Masalahnya ialah parti mana yang sanggup menerima mereka kerana Jokowi dilihat sebagai orang baru yang tidak boleh terus memimpin parti,” katanya.

Sama ada beliau akan menjadi pemain utama dalam parti lain atau memilih untuk memperjuangkan ideologinya secara bebas, satu perkara yang pasti ialah politik Indonesia sedang berada dalam fasa perubahan yang penuh drama dan dinamik.

Tanpa sebarang pengesahan rasmi daripada Gerindra atau Golkar, masa depan politik Jokowi masih belum jelas. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg