NEW DELHI/BEIJING: India dan China terus berusaha meningkatkan hubungan yang lebih baik – ketika kedua-duanya berdepan dengan kekangan perdagangan oleh Amerika Syarikat – menyusuli lawatan Menteri Luar China, Encik Wang Yi, ke New Delhi.
Lawatan beliau itu adalah bagi menangani masalah eksport nadir bumi dan baja Beijing sedang kedua-dua pihak giat berusaha meredakan ketegangan sempadan.
Menurut The Straits Times, Encik Wang, yang sedang dalam lawatan tiga hari ke India, bertemu Menteri Luar, Dr S. Jaishankar, pada 18 Ogos, diikuti rundingan dengan Penasihat Keselamatan Negara, Encik Ajit Doval, bagi menyelesaikan pertikaian sempadan.
Dalam ucapan pembukaan semasa pertemuan dengan Dr Jaishankar, Menteri Luar China itu menyatakan “trend positif” ke arah kerjasama, sambil menambah bahawa kedua-dua negara harus melihat satu sama lain sebagai rakan kongsi dan bukannya pesaing.
Dr Jaishankar pula menyatakan beliau telah mengadakan perbincangan yang produktif dengan Encik Wang mengenai perdagangan, hubungan antara rakyat, perkongsian data dan ketersambungan, selain isu global dan serantau.
Terdapat beberapa pergerakan ke hadapan dalam hubungan antara kedua-dua negara.
Sumber pemerintah India berkata Encik Wang telah memberi jaminan kepada Dr Jaishankar bahawa China sedang menangani keperluan India bagi bekalan baja, nadir bumi dan mesin pengorek terowong.
India mahu China melonggarkan sekatan eksport ke atas barangan tersebut yang telah menjejas pelbagai sektornya.
Sekatan pada nadir bumi – dengan China membekalkan lebih 60 peratus di peringkat sejagat – telah melanda industri elektronik dan automotif India, manakala sekatan baja telah menyebabkan kekurangan dan kenaikan harga.
Kerenah birokrasi juga telah melewatkan penghantaran peralatan mengorek terowong untuk projek kereta api berkelajuan tinggi India.
Jurucakap Kementerian Luar China, Cik Mao Ning, tidak mengesahkan isu berkenaan dalam sidang akhbar harian pada 19 Ogos, namun beliau berkata:
“Apa yang saya boleh beritahu anda ialah kami bersedia mengukuhkan dialog dan kerjasama dengan negara dan wilayah yang berkaitan untuk bersama-sama menjaga kestabilan industri dan rantaian bekalan global.”
Lawatan Encik Wang dibuat di tengah-tengah ketidaktentuan global yang meningkat disebabkan perang dagang Presiden Amerika, Encik Donald Trump.
India, yang telah dikenakan tarif sebanyak 25 peratus, sedang berdepan tarif tambahan 25 peratus ekoran pembelian minyak mentah daripada Russia.
Dakwaan Encik Trump bahawa beliau menjadi perantara gencatan senjata antara Pakistan dengan India selepas konflik ketenteraan selama empat hari pada Mei juga telah menimbulkan kemarahan India.
Dengan melesetnya hubungannya dengan Amerika, India kini berusaha meningkatkan hubungan dengan China, rakan perdagangan kedua terbesarnya, selepas satu pertembungan berdarah pada Jun 2020 di Lembah Galwan di wilayah Ladakh membawa kepada pembekuan dalam hubungan.
Sebagai tanda pemulihan pantas, Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, bersedia pergi ke China untuk menghadiri sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai, yang dijadualkan bermula pada 31 Ogos.
Susulan kunjungan Encik Wang ke atas Encik Modi, Pejabat Perdana Menteri India berkata dalam satu kenyataan bahawa Perdana Menteri India “mengalu-alukan kemajuan yang stabil dan positif dalam hubungan dua hala”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg