NEW DELHI: India telah mengarahkan seorang diplomat Pakistan meninggalkan negara itu dalam tempoh 24 jam ketika ketegangan memuncak berikutan serangan sengit antara jiran bersenjata nuklear sebelum gencatan senjata dipersetujui minggu lalu.
Pegawai yang tidak dinamakan itu dan ditempatkan di Kedutaan Pakistan di New Delhi, dituduh oleh Kementerian Ehwal Luar India pada 13 Mei kerana “melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak sesuai dengan status rasminya”.
Tindakan itu dibuat selepas konfrontasi tentera yang singkat tetapi sengit minggu lalu yang mengancam meletusnya perang berskala besar antara kedua-dua negara.
Meskipun gencatan senjata yang telah dikuatkuasakan telah menghentikan sementara serangan peluru berpandu dan dron rentas sempadan, pertempuran sekali sekala masih berterusan di sepanjang Garis Kawalan (LoC), sempadan de facto di Kashmir yang dituntut oleh kedua-dua negara.
Pada 13 Mei, Pakistan mengulangi komitmennya terhadap gencatan senjata tetapi memberi amaran akan bertindak balas secara paksa kepada sebarang serangan pada masa hadapan.
Kenyataan itu dibuat selepas Perdana Menteri India Encik Narendra Modi memberi amaran dalam ucapan negara pertamanya sejak gencatan senjata dipersetujui bahawa India akan menyerang “tempat persembunyian pengganas” di seberang sempadan jika diprovokasi lagi.
Beliau menambah bahawa India “hanya menghentikan sementara” tindakan ketenteraannya terhadap Pakistan.
Kenyataan Encik Modi dikecam dengan pantas oleh Kementerian Luar Pakistan, yang menyifatkannya sebagai “provokatif dan menghasut”.
“Pada masa usaha antarabangsa sedang dibuat untuk keamanan dan kestabilan serantau, kenyataan ini mewakili peningkatan yang berbahaya,” katanya.
Konflik itu tercetus selepas serangan maut pada 22 April di kawasan Pahalgam di Kashmir yang ditadbir India, membunuh 25 pelancong India.
India menuduh Pakistan mempunyai kaitan dengan serangan itu – tuduhan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Islamabad.
Ekorannya, India telah melancarkan serangan ke atas apa yang dipanggil “infrastruktur pengganas” di Pakistan dan Kashmir yang ditadbir Pakistan.
Menurut Islamabad, 40 orang awam dan 11 anggota tentera Pakistan terbunuh dalam keganasan minggu lalu.
India berkata sekurang-kurangnya 16 orang awam dan lima askar India terbunuh.
Pertempuran itu adalah yang paling teruk antara kedua-dua negara dalam hampir 30 tahun dan berakhir hanya selepas tekanan diplomatik yang berterusan.
Pada 12 Mei, India berkata ia membuat panggilan telefon yang jarang berlaku dengan pemimpin tentera Pakistan, bersetuju untuk menegakkan gencatan senjata dan meneroka cara untuk meredakan konflik. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg