Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Hujan bawa air bagi penduduk Gaza dan kemungkinan bah, penyakit merebak

Nov 15, 2023 | 01:24 PM



GAZA: Hujan lebat yang membasahi Gaza mungkin membawa berita gembira kepada sebahagian penduduk Palestin yang tidak mempunyai bekalan air bersih dan minuman sejak beberapa minggu lalu.


Bagi penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Bandar Deir Al-Balah, di tengah Semenanjung Gaza, hujan membawa kelegaan kepada mereka. Ada yang meletakkan baldi plastik di luar khemah mereka untuk mengumpul air hujan untuk diminum.

Namun pada masa sama, hujan itu menimbulkan kekhuatiran dan cabaran baru bagi rakyat Palestin. Ini kerana ramai daripada mereka tidak mempunyai tempat tinggal dan hanya tinggal di dalam khemah sementara.

Sekiranya hujan berterusan, dibimbangi ia mengakibatkan ada kawasan, terutama di khemah pelarian, dinaiki air dan penyakit berjangkit merebak.

Permulaan musim hujan dan kemungkinan berlakunya banjir meningkatkan kebimbangan bahawa sistem pembetungan dan perparitan ditenggelami dan merebaknya penyakit bawaan air.

Seorang penduduk, Encik Fayeza Srour, yang berpindah ke selatan selepas Israel memulakan serangannya, berkata sebelum ini mereka tinggal di dalam rumah yang dibina daripada konkrit tetapi kini di dalam khemah.

“Tap nilon, khemah dan kayu tidak akan dapat menahan sebarang banjir... mereka yang tidur di atas lantai, apa yang mereka akan lakukan? Ke mana mereka akan pergi?”.

Musim sejuk boleh menjadi basah dan sejuk di Gaza dan wilayah terkepung itu kadang-kadang dilanda banjir.

Seorang lagi warga Gaza yang kehilangan tempat tinggal, Encik Karim Mreish, berkata orang ramai di pusat perlindungan itu berdoa supaya hujan berhenti.

“Kanak-kanak, wanita dan orang tua berdoa kepada Tuhan supaya tidak hujan. Jika ia berlaku, ia akan menjadi sangat sukar dan tiada perkataan yang dapat menggambarkan penderitaan kami,” kata Encik Karim.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) minggu lalu berkata Gaza berdepan peningkatan risiko penyebaran penyakit kerana pengeboman udara Israel mengganggu sistem kesihatan, akses kepada air bersih dan menyebabkan orang ramai bersesak di tempat perlindungan.

Pada Rabu, WHO menyuarakan kebimbangan mengenai prospek hujan menyebabkan banjir dan kemudahan kumbahan yang sudah terlalu sedikit dan rosak.

Jurucakap WHO di Geneva, Cik Margaret Harris, berkata sudah berlaku penularan wabak penyakit cirit-birit, dengan lebih 30,000 kes berbanding 2,000 kes biasanya.

“Banyak kerosakan infrastruktur dan kekurangan air bersih. Jumlah penduduk ramai dan terlalu padat. Ini adalah satu lagi alasan kami memohon gencatan senjata dilakukan sekarang,” katanya.

Jurucakap Majlis Pelarian Norway, Encik Ahmed Bayram, berkata permulaan musim hujan menandakan “minggu paling sukar di Gaza sejak peningkatan (serangan) bermula”.

“Hujan lebat bermakna pergerakan menjadi lebih terhalang untuk orang ramai dan pasukan penyelamat. Ia akan menyukarkan lagi usaha menyelamatkan orang terperangkap di bawah runtuhan, atau mengebumikan mangsa. Semua ini berlaku di tengah-tengah pengeboman tanpa henti dan malapetaka kekurangan bahan api.

“Berdepan skala besar keperluan kemanusiaan bagi 2.3 juta penduduk Gaza, pertubuhan bantuan tidak dapat merancang untuk berdepan cabaran yang ditimbulkan oleh hujan dan banjir,’‘ ujar Encik Ahmed.

Pengarah Komunikasi di Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), Cik Juliette Touma, berkata pertubuhan itu memberi tumpuan pada memenuhi keperluan penduduk “di sini dan sekarang.”

“Kami hampir tidak mampu meneruskan usaha seterusnya sendiri, kerana keadaan di lapangan sangat, sangat, sangat terdesak,” katanya.

Cik Touma berkata hujan yang sedikit boleh menyebabkan jalan-jalan di Gaza banjir, memandangkan ketidakupayaan sistem kumbahan untuk menyerap air. “Ini berlaku pada hari biasa dan bukan apabila separuh daripada Gaza, jika tidak lebih, berada dalam runtuhan,” katanya.

Ketua delegasi Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di Gaza, Encik William Schomburg, berkata ia juga tidak dapat merancang jauh mengenai keperluan harian penduduk Gaza. Keadaan sangat tidak menentu dan rumit kerana ia berubah hari ke hari.

“Kami telah minum air masin selama 30 hari. Tidak ada air segar. Saya baru saja mengumpulkan air hujan,” kata seorang penduduk, Encik Um Mohammad Shahin. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >