Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hujan lebat luar biasa landa Korea Selatan, rekod curahan tertinggi sejak 1904

Jul 17, 2025 | 1:40 PM
Seorang lelaki meredah jalan yang dinaiki air akibat hujan lebat di Gwangju, Korea Selatan, pada 17 Julai 2025.
Seorang lelaki meredah jalan yang dinaiki air akibat hujan lebat di Gwangju, Korea Selatan, pada 17 Julai 2025. - Foto REUTERS

SEOUL: Beberapa kawasan di Korea Selatan dilanda hujan lebat luar biasa pada 17 Julai, dengan satu kawasan mencatatkan kadar hujan per jam tertinggi sejak rekod rasmi bermula pada tahun 1904, menurut agensi kaji cuaca negara itu.

Meskipun Korea Selatan lazimnya mengalami hujan monsun pada bulan Julai, data rasmi menunjukkan bahawa tiga kawasan di wilayah Chungcheong Selatan mengalami antara hujan paling lebat dalam sejarah minggu ini. Kawasan barat Seosan mencatatkan curahan hujan tertinggi iaitu 114.9 milimeter dalam masa satu jam, yang digambarkan oleh pegawai agensi cuaca sebagai “kadar yang lazimnya berlaku sekali dalam 100 tahun.”

“Ini adalah kadar tertinggi yang pernah direkodkan sejak tahun 1904,” kata pegawai tersebut kepada AFP. Beliau menjelaskan bahawa fenomena itu berpunca daripada “aliran udara hangat dan lembap di pinggir sistem tekanan tinggi Pasifik Utara, yang mencetuskan ketidakstabilan atmosfera yang kuat.”

Stesen penyiaran Korea Selatan menyiarkan rakaman banjir besar di Seosan, memperlihatkan air menenggelami pasar dan kompleks apartmen, selain kenderaan yang ditenggelami air.
Di daerah Hongseong, yang turut terletak di Chungcheong Selatan, penduduk telah diarahkan “untuk berpindah segera ke kawasan yang selamat” pada awal pagi 17 Julai susulan limpahan air dari sungai berdekatan.

Beberapa sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak di daerah itu juga ditutup sebagai langkah keselamatan. Dalam insiden berasingan, seorang pemandu maut di Osan, kira-kira 50 kilometer di selatan ibu negara Seoul, apabila dinding penahan setinggi 10 meter dari jejambat runtuh dan menghempap kenderaannya.

Di wilayah Chungcheong, dua orang berjaya diselamatkan selepas berlaku kejadian tanah runtuh. Korea Selatan sering dilanda banjir semasa musim monsun musim panas, namun biasanya bersedia dengan baik dan jumlah korban jiwa lazimnya rendah.
Menurut para saintis, perubahan iklim telah menyebabkan kejadian cuaca ekstrem berlaku dengan lebih kerap dan lebih dahsyat di seluruh dunia.

Korea Selatan turut mengalami hujan dan banjir luar biasa pada tahun 2022, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang. Antara mangsa termasuk tiga individu yang terperangkap dan maut dalam sebuah apartmen bawah tanah di Seoul – jenis kediaman yang dikenali di peringkat antarabangsa menerusi filem Korea pemenang Oscar, Parasite.

Ketika itu, kerajaan menyatakan bahawa curahan hujan tersebut adalah yang paling lebat sejak rekod rasmi di Seoul bermula, dan menyalahkan perubahan iklim sebagai punca utama fenomena cuaca ekstrem tersebut. — AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg