BEIJING: Hujan amat lebat di beberapa tempat di China telah menyebabkan kerosakan jalan raya yang ditaksirkan bernilai lebih 16 bilion yuan (sekitar $2.8 bilion), kata kementerian pengangkutan negara itu pada 27 Ogos, menonjolkan risiko iklim melampau terhadap perbelanjaan awam di negara tersebut.
Anggaran awal itu meliputi kerosakan jalan raya sejak permulaan musim banjir, kata jurucakap kementerian, Cik Li Ying, kepada pemberita.
Banjir tersebut melanda 23 wilayah dan majlis perbandaran – lebih dua pertiga daripada bahagian pentadbiran China.
Musim banjir yang bermula pada 1 Julai lalu telah membawa bersamanya hujan yang melepasi rekod di utara dan selatan negara itu, menurut kementerian sumber air China.
Setakat ini, sekitar 540 juta yuan telah diperuntukkan kepada pihak berkuasa tempatan oleh kementerian pengangkutan dan kewangan bagi membaiki jalan raya rosak, kata jurucakap itu.
Pemerintah juga telah memperuntukkan 5.8 bilion yuan dalam pembiayaan baru bagi menghulurkan bantuan bencana sejak April.
Menurut Kementerian Pengurusan Kecemasan China, banjir, tanah runtuh, gempa bumi dan kemarau telah menyebabkan kerugian dari segi ekonomi sebanyak 52.2 bilion yuan pada Julai sahaja.
Pemerintah tempatan China yang sudah bergelut dengan kerosakan bertrilion dolar, tidak mampu menyerap kos kerosakan berkaitan iklim yang semakin meningkat.
Sementara itu di India pula, hujan lebat telah menyebabkan tanah runtuh di satu laluan ritual penganut Hindu yang terkenal di wilayah utara Jammu, mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang, kata agensi berita ANI pada 27 Ogos.
Pegawai cuaca meramalkan lebih banyak hujan dan ribut petir dengan angin kencang dijangka melanda kawasan pergunungan Ladakh, wilayah Jammu dan Kashmir.
Pihak berkuasa India sedang berusaha memulihkan perkhidmatan telekomunikasi yang terjejas akibat cuaca melampau, kata Encik Omar Abdullah, ketua menteri wilayah itu.
Kejadian tanah runtuh pada 26 Ogos berhampiran kuil Vaishno Devi di laluan ritual penganut Hindu itu telah meragut 30 nyawa, kata ANI.
Ia adalah malapetaka terbaru akibat hujan lebat di wilayah Himalaya itu yang telah membunuh 60 orang, dengan 200 hilang di Kishtwar dalam kejadian minggu lalu.
Pihak berkuasa juga mengarahkan penutupan sekolah dan institusi pendidikan di Jammu, yang menurut pegawai cuaca telah dilanda hujan 368 milimiter pada 26 Ogos.
Sungai Tawi, Chenab, dan Basantar melimpah melebihi paras berjaga-jaga, menyebabkan banjir di kawasan rendah, kata pegawai daerah Jammu, Encik Rakesh Kumar kepada pemberita.
Imej televisyen menunjukkan kenderaan jatuh ke dalam lubang besar selepas sebatang jambatan runtuh di sungai Tawi, manakala beberapa lebuh raya yang menghubungkan Jammu ke seluruh India turut rosak. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg