NEW DELHI: Hujan tanpa henti di musim tengkujuh selama beberapa hari, telah mengorbankan sekurang-kurangnya 66 orang di India, kata para pegawai pemerintah pada Rabu, dengan puluhan pelancong asing terkandas di sekitar Himalaya gara-gara banjir yang menenggelamkan jalan-jalan raya.
Banjir dan kejadian tanah runtuh sering berlaku dan mengakibatkan kemusnahan semasa musim tengkujuh, tetapi para pakar berkata perubahan iklim memburukkan lagi keadaan.
Wilayah-wilayah di sekitar New Delhi mencatatkan hujan berlebihan dalam musim tengkujuh kali ini yang bermula 1 Jun, dengan Punjab dan Himachal Pradesh mencatatkan hingga 100 peratus lebih daripada biasa, menurut Jabatan Kajicuaca India (IMD).
Hujan lebat turut mengheret kenderaan, memusnahkan beberapa buah bangunan dan merobohkan jambatan di Himachal Pradesh, disifatkan paling buruk melanda wilayah itu.
Sekurang-kurangnya 33 orang terkorban di wilayah ini - yang terkenal dengan pemandangan indah pergunungan Himalaya - sejak Sabtu lalu, kata Encik Onkar sharma, ketua agensi bencana wilayah tersebut.
Ketua polis wilayah itu, Encik Satwant Atwal memberitahu agensi berita AFP bahawa pasukan penyelamat telah dikerahkan untuk membantu 40 orang pelancong asing - termasuk 14 warga Russia dan 12 rakyat Malaysia - yang terkandas di destinasi pelancongan bersama-sama ratusan rakyat India.
Ketua Menteri Himachal Pradesh, Encik Sukhvinder Singh Sukhu, berkata pada Rabu melalui laman Twitter: “Akibat turunnya salji dan cuaca buruk, usaha untuk memindahkan mereka bertambah sulit. Kami mencuba pelbagai cara untuk menangani keadaan ini.”
Sekurang-kurangnya 12 orang terkorban di wilayah Uttarakhand, termasuk sembilan orang pada Selasa, apabila sampah sarap yang hanyut menimpa kenderaan mereka di lebuh raya, kata para pegawai.
Acara keagamaan di kuil Hindu di wilayah Kedarnath terpaksa dibatalkan kerana hujan lebat.
Ramai terkorban
Ketua Menteri Uttarakhand, Encik Pushkar Singh Dhami, menulis di laman Twitter: Memandangkan hujan berterusan di banyak kawasan, saya meminta orang ramai dan mereka yang mahu menjalankan acara keagamaan supaya tidak meneruskan perjalanan.”
Hujan yang tiada hentinya telah mengakibatkan banyak kerosakan di merata Punjab, dengan sekurang-kurangnya 10 orang terkorban dalam banjir kilat.
Menteri Hasil Wilayah, Encik Brahm Shankar Jimpa, memberitahu wartawan pada Selasa: “Ramai yang terkorban dan hartanah musnah. Penilaian terhadap kerugian yang dialami sedang dilakukan.”
Sekurang-kurangnya 11 orang terkorban di Uttar Pradesh, sebuah wilayah yang paling padat penduduk di India, menurut para pegawai.
Di ibu kota, New Delhi, pada Rabu operasi memindahkan ratusan penduduk mula digerakkan kerana paras air terus meningkat di sebuah sungai di sepanjang ibu kota itu, kata ketua menterinya.
Paras air di Sungai Yamuda mula naik melebihi “paras bahaya” dan telah menenggelamkan beberapa kawasan sekitaran ibu kota yang mempunyai 20 juta penduduk, kata Ketua Menteri, Encik Arvind Kejriwal, sambil menambah bahawa paras air meningkat, tertinggi dalam masa 45 tahun.
Pada Rabu lalu, mereka yang tinggal di khemah-khemah sementara di pinggir sungai itu, mula memunggah barang-barang mereka, menaiki basikal dan traktor untuk berpindah ke khemah sementara yang lain - kira-kira 2,500 khemah - yang didirikan sekitar bandar tersebut. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg