SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Ketua junta Myanmar Min Aung Hlaing angkat sumpah sebagai presiden

Ketua junta Myanmar Min Aung Hlaing angkat sumpah sebagai presiden

Apr 10, 2026 | 4:28 PM

Ketua junta Myanmar Min Aung Hlaing angkat sumpah sebagai presiden

Bekas ketua tentera Myanmar dan kini Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing, tiba untuk menghadiri majlis angkat sumpahnya semasa sidang Pyidaungsu Hluttaw (Parlimen Kesatuan) di Naypyidaw pada 10 April 2026. Ketua junta Myanmar itu mengangkat sumpah sebagai presiden, sekali gus meneruskan pemerintahannya melalui jawatan awam hampir lima tahun selepas merampas kuasa dalam rampasan kuasa.
Bekas ketua tentera Myanmar dan kini Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing, tiba untuk menghadiri majlis angkat sumpahnya semasa sidang Pyidaungsu Hluttaw (Parlimen Kesatuan) di Naypyidaw pada 10 April 2026. Ketua junta Myanmar itu mengangkat sumpah sebagai presiden, sekali gus meneruskan pemerintahannya melalui jawatan awam hampir lima tahun selepas merampas kuasa dalam rampasan kuasa. - Foto AFP

NAYPYIDAW: Ketua junta Myanmar, Min Aung Hlaing, secara rasmi mengangkat sumpah sebagai presiden pada 10 April, sekali gus meneruskan pemerintahannya melalui jawatan awam hampir lima tahun selepas merampas kuasa dalam rampasan kuasa tentera.

Encik Min Aung Hlaing, yang sebelum ini mengetuai angkatan tentera, menggulingkan kerajaan dipilih rakyat pimpinan Cik Aung San Suu Kyi pada 2021. Tindakan itu menyaksikan pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu ditahan dan mencetuskan perang saudara yang masih berlarutan hingga kini.

Selepas memerintah secara langsung selama beberapa tahun, beliau menganjurkan pilihan raya yang berakhir pada Januari lalu, namun tidak membenarkan penyertaan parti Suu Kyi. Keputusan itu membuka laluan mudah kepada sekutu tentera untuk menguasai politik awam dan menyokong beliau ke jawatan tertinggi negara.

Dalam majlis di ibu negara Naypyidaw, pemimpin berusia 69 tahun itu membacakan sumpah presiden dan berjanji untuk menegakkan prinsip keadilan, kebebasan dan kesaksamaan. “Saya akan mendedikasikan diri saya untuk berkhidmat kepada Republik Kesatuan Myanmar,” katanya ketika memulakan penggal lima tahun.

Beliau turut meletakkan jawatan sebagai ketua tentera bagi mengambil alih kepimpinan kerajaan baharu menjelang sambutan Tahun Baharu Myanmar, Thingyan, yang bermula minggu depan.

Namun, pemerhati demokrasi mempersoalkan langkah itu dan menyifatkannya sebagai usaha menjenamakan semula pemerintahan tentera dalam bentuk awam. “Ini bukan peralihan sebenar kepada demokrasi, tetapi hanya wajah baharu bagi kuasa lama,” menurut seorang penganalisis politik serantau.

Langkah keselamatan di Naypyidaw turut diperketat menjelang majlis tersebut, dengan pasukan pemusnah bom dilihat berkawal di hotel-hotel utama dan kawasan parlimen dikawal ketat melalui beberapa sekatan jalan.

Walaupun pihak junta mendakwa pilihan raya itu sebagai usaha memulangkan kuasa kepada rakyat dan membuka ruang perdamaian, komposisi kerajaan baharu menunjukkan sebaliknya. Lebih dua pertiga daripada 30 menteri yang dilantik terdiri daripada anggota tentera, sama ada masih berkhidmat atau sudah bersara.

Sebahagian besar daripada mereka juga pernah memegang jawatan dalam pentadbiran junta sebelum ini, manakala lebih 10 individu dikenakan sekatan antarabangsa.

Di peringkat global, kepimpinan Myanmar selepas rampasan kuasa terus dipulaukan oleh banyak negara. Namun, penganalisis berpendapat pilihan raya tersebut bertujuan memperbaiki imej antarabangsa dan membuka semula peluang pelaburan asing.

Majlis angkat sumpah itu dihadiri wakil dari China, India dan Thailand. Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, turut mengucapkan tahniah dan menyatakan keyakinan bahawa hubungan dua hala akan terus diperkukuh di bawah kepimpinan Min Aung Hlaing.

China pula dilihat sebagai penyokong utama proses tersebut, dengan perbincangan mengenai projek prasarana yang tertangguh kini kembali dihidupkan.

Sejak merdeka, Myanmar sebahagian besarnya berada di bawah pemerintahan tentera. Tempoh singkat antara 2011 hingga 2021 menyaksikan pembaharuan politik apabila kerajaan awam mula mengambil alih pentadbiran.

Namun, kemenangan besar Cik Suu Kyi dalam pilihan raya 2020 dipercayai mencetuskan kebimbangan dalam kalangan tentera terhadap pengaruh mereka yang semakin merosot, sebelum kuasa dirampas semula setahun kemudian.

Menurut pemantau pilihan raya, pengundian semula yang dianjurkan junta tidak melibatkan parti-parti yang sebelum ini memenangi lebih 90 peratus kerusi, selain mengenakan hukuman penjara terhadap sebarang bantahan.

Lebih memburukkan keadaan, proses pengundian tidak dijalankan di beberapa kawasan yang dikuasai kumpulan pemberontak yang menolak pilihan raya itu, sekali gus menjejaskan kesahihan mandat Min Aung Hlaing sebagai presiden. - Agensi berita

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg