NAYPYITAW: Pemangku Presiden Myanmar, Myint Swe, yang memainkan peranan penting semasa rampasan kuasa tentera pada 2021, disahkan meninggal dunia pagi tadi pada usia 74 tahun, menurut siaran rasmi stesen penyiaran kerajaan MRTV.
“Myint Swe meninggal dunia di sebuah hospital tentera di Naypyitaw pada pagi 7 Ogos,” lapor MRTV dalam kenyataan ringkas.
Encik Myint Swe, bekas jeneral tentera, menjadi figura utama selepas rampasan kuasa tentera yang menggulingkan pemerintah awam yang dipilih rakyat dan dipimpin oleh Cik Aung San Suu Kyi. Beliau mengambil alih jawatan sebagai Presiden selepas penyandang ketika itu, Enik Win Myint, ditahan bersama Aung San Suu Kyi. Kedua-duanya masih ditahan sehingga kini.
Rampasan kuasa tersebut mencetuskan kekacauan besar di Myanmar, yang membawa negara Asia Tenggara itu ke ambang perang saudara. Rejim tentera berdepan pemberontakan bersenjata dan dituduh melakukan pelbagai kekejaman terhadap orang awam - dakwaan yang terus dinafikan oleh pihak tentera.
“Myint Swe adalah individu yang penting bagi junta kerana beliau menandatangani dekri rasmi dan membantu memberikan penampilan sah kepada pemerintahan tentera,” kata seorang penganalisis politik tempatan yang enggan dinamakan.
Sebelum menjadi pemangku presiden, Encik Myint Swe pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden dalam sistem pentadbiran separa awam Myanmar. Namun peranannya selepas rampasan kuasa lebih kepada simbolik, dengan kuasa sebenar terletak di tangan Ketua Junta, Jeneral Min Aung Hlaing.
Encik Myint Swe mula diberi cuti perubatan pada Julai 2024 selepas keadaannya dilaporkan semakin merosot. Menurut laporan media tempatan, beliau mengalami masalah mobiliti sejak awal 2023 dan sukar makan.
Ujian perubatan kemudian mengesahkan beliau menghidap penyakit Parkinson serta gangguan neurologi lain. Pada April 2024, beliau pernah menerima rawatan di Pusat Perubatan Mount Elizabeth, Singapura.
Kematian beliau berlaku hanya seminggu selepas tentera Myanmar mengumumkan peralihan kuasa sementara kepada sebuah kerajaan interim yang dipimpin secara nominal oleh pihak awam, langkah yang dilihat sebagai usaha membentuk legitimasi menjelang pilihan raya yang dirancang pada akhir 2025.
Namun, Jeneral Min Aung Hlaing kekal menguasai negara dalam kapasiti sebagai pemangku presiden dan ketua angkatan tentera. “Walaupun peranannya lebih bersifat formal, pemergian Myint Swe menandakan berakhirnya satu fasa simbolik dalam rejim junta,” kata seorang diplomat serantau yang berpangkalan di Bangkok. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg